ARTIKEL

Kaedah salur bantuan bersasar kepada rakyat Sarawak dibincang bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pelaksanaan penyaluran bantuan bersasar kepada rakyat Sarawak yang layak dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, walaupun Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai mekanisme pada masa ini, menjadi keutamaan kerajaan Sarawak memastikan kepentingan rakyat terjaga dan data rakyat dilindungi.

“Kerajaan Sarawak melalui agensi-agensi berkaitan termasuk agensi Persekutuan di Sarawak akan mengenalpasti mekanisme yang terbaik bagi menyalurkan bantuan bersasar kepada rakyat Sarawak yang layak.

“Malah, kita juga bersedia untuk melaksanakan bantuan subsidi bersasar dari kerajaan persekutuan menggunakan data yang sedia ada pada agensi-agensi di Sarawak, seperti kita melaksanakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beting Maro Razaili Gapor berhubung perancangan dan strategi Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan bantuan bersasar melalui PADU pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Bagaimanapun kata ADUN Semariang itu, isu keselamatan dan integriti data rakyat merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, kes-kes atau insiden yang berkaitan dengan jenayah siber berkaitan pelanggaran data telah meningkat iaitu pada tahun 2023, ia mencatatkan rekod tertinggi.

Justeru katanya, kekurangan rangka kerja undang-undang memberi bayangan bahawa sistem PADU tidak dilindungi sepenuhnya sekali gus menyebabkannya terdedah.

“Penyatuan data semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat perlu dilengkapi dengan tahap keselamatan tertinggi.

“Sebagai contoh, kelemahan yang paling banyak diperkatakan ialah kata laluan yang digunakan daripada akaun PADU boleh ditukar dengan mudah hanya dengan menggunakan kad pengenalan seseorang,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan keselamatan dan protokol PADU bagi memastikan kepentingan data individu terlindung.

Pada masa yang sama, katanya Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan terus menyelia dan memantau tadbir urus keselamatan siber serta data bagi sektor awam, swasta dan rakyat Sarawak pada umumnya.

“Kerajaan Sarawak juga akan memastikan maklumat dan data bagi tujuan bantuan bersasar di semua peringkat agensi Sarawak akan mematuhi tadbir urus dan keselamatan siber demi melindungi data peribadi rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri