KUCHING: Terkenal dengan menu istimewa ais kacang gula apong, Kafe RL Metrocity turut menawarkan pelbagai jenis hidangan lain kepada pelanggan.
Menurut salah seorang pekerja Kafe RL, Asyraf Aiman Jaya, kafe yang terletak di lorong Metrocity Matang ini, sering menjadi tumpuan pelanggan susulan keenakannya yang memenuhi cita rasa pelanggan.
“Selain menawarkan makanan tempatan, kami juga menyediakan masakan ala-ala Barat seperti set daging kambing dan ayam.
“Pelanggan juga berpeluang menikmati pelbagai menu lain seperti cucur udang, pisang goreng keju termasuk makanan ringan,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.
Menurut Asyraf, Kafe RL turut menawarkan pelbagai promosi istimewa kepada pelanggan sepanjang Ramadan ini.
“Kami beroperasi seperti biasa setiap hari iaitu dari 10 pagi hingga 10 malam.
“Selain menyajikan promosi hidangan bufet kepada pelanggan, kami turut menawarkan set daging kambing dan ayam berserta minuman teh ais dengan harga RM10.90 sahaja.
“Untuk hidangan bufet, pelang gan boleh menikmati pelbagai menu yang disediakan dengan harga RM48 bagi dewasa, manakala RM28 untuk kanak-kanak,” katanya lagi.
Menurut Asyraf pelanggan bebas memilih makanan digemari mengikut kuantiti dikehendaki.
“Di sini, kami menyediakan lapan jenis makanan tempatan terdiri daripada empat jenis rendang, diikuti empat jenis makanan laut seperti ambal, kerang dan udang serta enam jenis masakan Barat untuk set bufet.
“Untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap dipatuhi, kami menggalakkan pelanggan menandakan menu yang dinginkan di atas kertas yang disediakan bagi memudahkan proses menghidang makanan kepada mereka.
“Pelanggan juga digalak menambah semula makanan, sekiranya mahu menikmati hidangan yang sama,” katanya lagi.
Mengulas had kemasukan pelanggan, Asyraf memberitahu Kafe RL menetapkan kunjungan hanya kepada 60 hingga 70 orang dalam tempoh satu hari.
“Setakat ini, kami mendapati antara hidangan yang paling digemari di sini ialah set makanan Barat dan juga ais kacang gula apong.
“Kebanyakan pelanggan adakalanya datang semata-mata untuk menikmati ais kacang di kafe kami,” katanya lagi.
Menurut beliau, keistimewaan ais kacang gula apong yang dijual di sini juga disebabkan ramuan gula tersebut dihasilkan mereka sendiri.
“Kami bercadang menambahkan lagi pelbagai menu lain di Kafe RL untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Sejajar sambutan pelanggan menggalakkan ini, kami bersedia melakukan yang terbaik untuk mencapai matlamat disasarkan,” katanya.
Menurut Asyraf, pihak RL Kafe turut mengadakan promosi perniagaan mereka melalui medium media sosial untuk memperkenalkan sajian mereka kepada masyarakat di luar.
Untuk makluman, Kafe RL Metrocity merupakan cawangan kedua selain kafe RL Cucur Udang yang terletak di Satok.
Bagi pelanggan yang ingin mencuba pelbagai jenis menu masakan di sini, anda dialu-alukan melayari laman Facebook Kafe RL Metrocity untuk maklumat lanjut dan tempahan.