JOHOR BAHRU: Kain Benang Johor kini semakin mendapat tempat dalam dunia adibusana tempatan, sekali gus mengangkat seni tenun warisan negeri itu sebagai simbol identiti, prestij dan kemewahan.
Penolong Kurator Galeri Tenun Johor Roslinda Mohd Rosli berkata keunikan kain itu terletak pada corak geometri bercirikan konsep berkotak dengan motif tempatan seperti lada hitam dan gambir. Sehingga kini, 10 rekaan rasmi telah dipatenkan, termasuk enam untuk kerabat diraja dan empat untuk kegunaan umum.

Beliau berkata setiap helai kain dihasilkan melalui lapan proses tradisional menggunakan tangan sepenuhnya, dengan tempoh menyiapkan sehelai kain mencecah satu setengah hingga dua bulan. Harga kain tenun tangan asli bermula RM2,000.
Bagi memperluaskan pemilikan, Yayasan Warisan Johor (YWJ) turut memperkenalkan versi buatan mesin yang dijual pada harga promosi RM250 sempena kempen Visit Johor sehingga Disember 2026.
Menurut Bernama, Roslinda berkata penggunaan Kain Benang Johor kini tidak lagi terhad kepada kain samping, malah turut dijadikan kemeja, blaus dan kot bagi memenuhi cita rasa fesyen moden.







