Kaji semula bayaran pampasan

SELANGAU: Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang memohon kerajaan untuk meneliti semula pembayaran pampasan kediaman penduduk yang dipindahkan disebabkan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau berkata, struktur pembayaran untuk pampasan yang dibayar kepada mereka yang dipindahkan juga perlu dikaji semula.

Menurutnya, ini kerana pampasan yang dibayar sebelum ini hanya merangkumi kos seperti untuk nilai struktur kediaman, kilang dan beberapa yang lain.

“Saya berharap kerajaan juga dapat membayar pampasan kepada mereka yang terjejas dengan cara lain dengan mengambil kira kos-kos yang berkaitan atau dari sudut lain.

“Kerajaan boleh memberikan bantuan seperti bahan binaan dan memasukkan sejumlah kos untuk pampasan bagi kegunaan bayaran penyambungan elektrik serta pembinaan jalan ke rumah panjang baharu,” katanya ketika merasmikan Tapak Rumah Panjang baharu Rumah Andi Manggui di Sungai Sebaya, Selangau.

Hadir sama ialah Pemanca Mathew Ganggang, Penghulu Thomas Jawa serta tetamu jemputan yang lain. Menurut Gira, jumlah pampasan yang diberikan sebelum ini juga tidak termasuk yuran sambungan air dan elektrik.

Beliau mengatakan bahawa penduduk rumah panjang terpaksa menjelaskan jumlah bayaran untuk menyambung kemudahan utiliti

sendiri setelah mereka berpindah ke rumah panjang baharu. “Saya telah mengemukakan masalah ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) tetapi saya diberitahu bahawa pampasan yang dibayar adalah muktamad.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan memikirkan cara lain untuk membantu mereka yang terjejas ini,” katanya.

Sementara itu, Gira mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk Rumah Andi bagi kegunaan untuk membeli bahan binaan untuk rumah panjang baharu mereka.

Rumah Andi mempunyai 26 pintu adalah antara rumah panjang di Selangau yang dipindahkan bagi memberi laluan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion.

Suara Sarawak