Teruna berani buka perniagaan syarikat bukan bumiputera

Trending

Kak C-la ABC Gula Apong jadi pilihan ramai

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Keenakan Air Batu Campur (ABC) yang dihasilkan oleh Sakilah Ghulam Hussein, 57, sememangnya tidak dinafikan dan sentiasa menghantui peminatnya terutama ketika cuaca panas terik.

Minuman itu dihasilkan menggunakan ais yang kisar serta campuran bahan lain seperti jagung, cincau, kacang, cendol serta susu cair.

Istimewanya, gerai Sakilah yang diberi nama Kak C-la ABC Gula Apong itu menggunakan manisan asli dari Sarawak yang dihasilkan daripada air nira nipah.

Menurut Sakilah, dia mula berniaga sejak tujuh tahun lalu di Bazar Ramadan Matang Jaya.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan Sakilah semakin berkembang dan dia mula membuka gerai pertamanya di Pusat Penjaja Semarak, Kuching.

“Sebenarnya suami saya yang mencadangkan supaya berniaga minuman ini memandangkan beliau ada pengalaman membuat ABC dengan seorang pengusaha ais kacang terkenal di Kuching.

“Suami saya berkesempatan mempelajari membuat ABC menggunakan gula apong, kacang dan resipi lain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, Sakilah turut berkongsi pendapatan bulanan berniaga ABC mampu mencecah sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Baca lain  Loji hidrogen dilancar hari ini

“Setiap hari kami peroleh hasil jualan RM300 hingga RM400, manakala jika hari hujan, hanya sekitar RM200 sehari,” jelasnya.

Menurut Sakilah, kebanyakan peminat ABC gula apongnya itu terdiri daripada kaum Cina, Iban, Bidayuh dan juga Melayu.

“Bagi golongan remaja, mereka lebih gemarkan minuman yang ada buah seperti air buah istimewa, jagung susu, manakala golongan berusia meminati minuman berkacang dan cendol.

“Saya membuat ABC ini berdasarkan kehendak pelanggan misalnya tidak mahu dicampur cendol atau cincau.

“Keutamaan saya ialah kepuasan pelanggan dan mereka membayarnya dengan ikhlas.

Pelanggan ikhlas membeli jualan ini sudah pasti menambah keberkatan dalam perniagaan saya,” tambahnya.

Memandangkan jualan Sakilah berasaskan gula apong, setiap hari dia memasak sekitar 10 kilogram gula apong untuk persediaan jualan pada keesokan harinya.

Jelasnya pada Ramadan lalu, sekitar 20 kilogram gula apong disediakan pada setiap hari memandangkan permintaan yang sangat tinggi.

Bercakap peningkatan harga barangan, Sakilah akui perniagaannya turut terkesan kerana bahan seperti susu dan gula apong memakan kos yang agak tinggi.

Baca lain  Praktikal menggapai dunia digitalisasi

“Kami terpaksa menaikkan harga jualan bagi mengimbangi modal yang dikeluarkan.

“Walaupun harga dinaikkan, Alhamdulillah saya masih mempunyai pelanggan tetap sejak awal menceburi bidang ini,” ujarnya.

Sakilah juga berhasrat untuk memiliki sebuah kedai yang lebih selesa dan mesra pelanggan pada masa akan datang.

Gerai Kak C-la ABC Gula Apong menjual pelbagai jenis minuman seperti ABC Gula Apong, Air Buah Istimewa, White Lady, Lai Chi Kang, Cincau Sarsi Susu dan Jagung Susu.

Dibuka pada setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang, gerai Kak C-la Gula Apong menawarkan harga serendah RM7 hingga RM12 mengikut jenis ABC.

Air tangan Sakilah ini juga dapat ditempah menerusi aplikasi e-hailing atau layari Facebooknya, Kak C-la ABC Gula Apong.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

28 Mei 2023

Berita Terbaru