DARO: Sungai Tebaang yang sinonim dengan jolokan syurga ikan terubok dan emperit, ternyata kaya dengan pelbagai spesis ikan lain yang menjadi buruan kaki joran.
Malah, lokasi yang terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar Daro itu cukup berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu lagi platform bagi penganjuran pertandingan memancing di kawasan tengah Sarawak selain Mukah dan Tanjung Manis.
Ia terbukti melalui sambutan yang cukup mengalakkan dalam edisi pertama acara berkenaan pada tahun lalu.
Menyedari realiti itu, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Unit Kampung Tebaang sekali lagi mengadakan pertandingan memancing terbuka sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 1 September ini.
Pengerusinya, Adykurniawan Abdullah berkata, pada edisi kali ini, pertandingan terbahagi kepada kategori Pesisir Sungai dan Pangkalan Simen.
Bagi kategori pesisir sungai katanya, juara berpeluang membawa pulang RM300, naib juara RM200, ketiga (RM100) manakala, keempat dan kelima masing-masing RM50.
Sementara juara Pangkalan Simen pula berpeluang meraih RM100, naib juara (RM80), ketiga RM50, keempat dan kelima masing-masing RM30.
“Bagi kaki pancing pastinya mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bertarung dengan ikan terusan. Malah jika bernasib baik, mereka berpeluang mendaratkan ikan pari selain belukang dan sembilang,” katanya.
Pertandingan bertujuan mengeratkan perpaduan di samping menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti memancing.
Penyertaan masih terbuka dan mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Ady menerusi talian 014-9131249.
