Kaki judi sabung ayam bertempiaran lari diserbu polis

BINTULU: Sekumpulan kaki judi sabung ayam bertempiaran lari selepas ‘gelanggang’ mereka di kawasan Sungai Sebutin, Tubau digempur polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, operasi kira-kira jam 3 petang itu dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Menurutnya, hasil serbuan itu, seramai 15 lelaki tempatan berusia 19 hingga 69 tahun yang disyaki pemain judi berkenaan berjaya diberkas.

Turut dirampas lima ekor ayam hidup , tiga ayam mati, penimbang, dua bilah taji ayam, pen dan papan tulis.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Bintulu dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.

“Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara,” ujarnya.

Suspek-suspek dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak