Kalimah ‘Allah’ isu Malaya, bukan Sarawak – Ahmad Ibrahim

KUCHING: Keputusan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ tidak ada kaitan dengan Kerajaan Sarawak, kata Datuk Ahmad Ibrahim. 

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menjelaskan ia kerana Sarawak dan Sabah amnya adalah bebas daripada Semenanjung dari segi hal ehwal undang-undang agama. 

“Ini adalah isu Malaya, ia tidak ada kaitan dengan Sarawak dan Sabah. 

“Apa sahaja keputusan dibuat berkaitan kalimah ‘Allah’ di Malaya, ia tidak ada kaitan dengan kita. 

“Ia tidak memberi kesan kepada kita dari segi kebebasan beragama, jadi penggunaan kalimah ‘Allah’ di Sarawak tidak pernah menjadi isu sejak dahulu lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurut Ahmad, di Sabah dan Sarawak, kebebasan beragama adalah di bawah hak negeri dan bukan dikawal oleh persekutuan. 

Justeru, katanya tiada keperluan untuk Sarawak campur tangan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di Semenanjung kerana ia masih boleh digunakan di negeri ini. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli politik di Sarawak agar tidak mempergunakan isu kalimah ‘Allah’ untuk kepentingan politik mereka. 

“Tiada apa-apa yang salah dengan penggunaan ‘Allah termasuk perkataan lain oleh Kristian. 

“Walau apapun berlaku di bawah undang-undang persekutuan berkaitan agama atau penggunaan kalimah ‘Allah’, jika Kerajaan Persekutuan menang sekalipun dalam rayuan mengenai isu ini, ia tetap tidak relevan dan tidak memberi kesan kepada Sarawak,” katanya. 

Ahmad berkata apa yang jelas, undang-undang berkaitan agama di Sarawak adalah di bawah undang-undang negeri dan ia sentiasa dilindungi dan dipertahankan oleh Kerajaan Sarawak. 

“Kita tidak ada isu dengan perkataan ‘Allah’, jadi jangan politikkannya…biarkan sahaja Kerajaan Persekutuan dengan isu mereka di Malaya,” katanya. 

Kerajaan Sarawak kelmarin memaklumkan tiada larangan bagi penganut Kristian di negeri ini untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. 

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak. 

Malah ia disifatkan sebagai salah satu faktor penyatuan utama perpaduan rakyat di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama. 

Suara Sarawak