Kami bukan gelandangan, kami hanya menumpang

KUCHING: Kami bukan gelandangan, mereka salah faham. Jika kami gelandangan, kami tidur di kaki lima tepi jalan, ada Jabatan Kebajikan datang jumpa kami kata penghuni bangunan terbiar di Jalan Datuk Ajibah Abol.

Antaranya Ibarahim Ali, 40, ketika ditemui Suara Sarawak semalam berkata, mereka sudah lama mendiami bangunan terbiar itu sehinggalah kes denggi menular di kawasan berkenaan.

“Sekarang DBKU menutup bangunan ini dengan zink. Kami dinasihatkan supaya berpindah. Banyak barang perlu kami alih,” katanya menegaskan, kedatangan mereka tidak harus dipandang serong.

Ini kerana dakwa Ibarahim, mereka turut menjaga kawasan sekitar dengan memantau kes kecurian yang banyak berlaku di kawasan berkenaan.

“Kami ini bukan kaki curi. Sebenarnya kawasan ini dahulu banyak kes curi, namun sejak kehadiran kami di sini, kejadian kecurian berkurangan,” katanya yang kini sebagai pembantu kedai.

Mengenai arahan penutupan bangunan itu, dia sebenarnya meminta tempoh tertentu kerana perlu memindahkan barang mereka.

Sementara itu, Muhamad Yasin Muhamad Razali, 39, berkata, tujuh penghuni tinggal sementara di bangunan itu ada yang bekerja.

“Kami tidak susahkan orang lain. Dahulu ada kes kecurian di rumah berdekatan. Kini tiada lagi. Kami bantu memerhati keadaan sekitar,” katanya.

Katanya, wabak denggi yang berlaku menyebabkan mereka tidak dapat mendiami kawasan itu lagi.

Kecewa kerana terpaksa berpindah, dia mengakui keadaan dalam bangunan itu berselerak dengan perkakas elektrik, namun kembali bersih setelah barangan itu selesai dibaiki.

Dia melakukan kerja-kerja membaiki peralatan elektrik yang dihantar penduduk sekitar atau ditemui dalam tong sampah.

“Sebelum ini saya mengumpul kotak dan besi untuk dijual. Kini saya aktif membaiki barangan elektrik. Orang hantar untuk saya baiki,” jelasnya.

Hasil kerja membaiki barangan elektrik, dia dapat mengirim perbelanjaan anaknya bersekolah walaupun tidak tinggal bersama-sama.

Jelasnya, sebahagian penghuni bangunan itu adalah penduduk kampung itu sendiri tetapi terpaksa keluar rumah dan tinggal di situ disebabkan masalah tertentu.

Pada 21 Jun lalu, DBKU memberi tempoh masa 48 jam untuk penduduk di tiga kampung di Jalan Datuk Ajibah Abol untuk melakukan pembersihan menyeluruh susulan penarafan kawasan sebagai lokasi titik panas wabak denggi.

Titik panas bermaksud wabak tersebut gagal dikawal dalam tempoh sebulan dan sehingga 21 Jun, kawasan tersebut merekodkan 45 kes.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad berkata, ketika ini, jumlah kes denggi di Daerah Kuching adalah sebanyak 241 kes dan 93 kes di kawasan pentabdiran DBKU termasuk 38 kes di Jalan Datuk Ajibah Abol.

Suara Sarawak