Kami diugut apabila minta perlindungan

KUCHING: Anak kapal yang terkandas di Kapal Bigfoot 1 di Romania dan dikerah bekerja tanpa gaji akan dibawa pulang ke Malaysia hari ini secara berperingkat-peringkat.

Menurut salah seorang anak kapal, Andrian Ambas Richards, hasrat mereka ingin pulang ke Malaysia dibantu melalui Datuk Seri Wan Junaidi yang menghubungi Duta Malaysia di Romania, TYT Abdullah Zawawi Tahir dan pegawai Konsul Amera untuk mendapatkan bantuan Kerajaan Romania.

“Duta datang menemui kami untuk hantar kami menggunakan dua bas ke hotel dan menyerahkan dokumen untuk membawa kami balik ke Malaysia,” kata Andrian yang berasal dari Bintulu.

Andrian juga mendedahkan, atas bantuan Kerajaan Malaysia dan hubungan baik dengan Kerajaan Romania, usaha membawa mereka keluar daripada kemelut dikerah bekerja tanpa gaji dapat diselesaikan.

Sebelum ini kata Andiran, pihak syarikat kapal itu mengugut mereka kerana telah membuat aduan dan meminta perlindungan daripada kedutaan di sana.

“Hampir semua kami tidak dibayar gaji seperti yang dijanjikan di dalam kontrak dan ada yang sudah dibayar namun hanya sehingga bulan September.

“Apabila kami protes mulai 5 November lalu dan meminta dibayar gaji, namun pihak pengurusan kapal berdalih dan enggan memberi kerjasama malah memaksa kami terus bekerja,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Dalam pada itu, Andrian mewakili 83 rakyat Sarawak yang ditimpa nasib malang di Romania itu ingin menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Wan Junaidi atas bantuan beliau membawa mereka balik ke tanah air.

“Kami berasa sangat teruja dan kini rasa selamat setelah dibantu oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Malaysia.

“Terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana menguruskan perjalanan kami untuk pulang dengan selamat bermula hari ini,” katanya lagi.

Andrian mendedahkan hampir kesemua anak kapal teraniaya itu merupakan rakyat Sarawak berusia 20 hingga 60 tahun.

Sementara itu, Andrian sekali lagi memohon pertolongan Kerajaan Sarawak untuk membantu mereka membiayai kos kuarantin setibanya mereka di Kuala Lumpur.

“Kebanyakan kami tiada gaji dan tidak mampu untuk membayar kos kuarantin sendiri. Oleh itu kami berharap Kerajaan Sarawak membantu membayar kos kuarantin setelah tiba di Malaysia,” jelasnya.

Kisah Andrian mula dibongkar apabila salah seorang ahli keluarga anak kapal menghubungi Suara Sarawak untuk menyiarkan nasib malang mereka di sana.

Suara Sarawak