“Kami jaga rumah, anda pulang raya”

KUCHING: Sejumlah 300 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadan Pasar Batu 7 sempena Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Program Pengagihan Bubur Lambuk IPD Padawan dengan kerjasama Tay Motor sempena Gawai Raya 2019 berlangsung pada 29 Mei jam 5 petang hingga 6 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa turut mengedarkan risalah dan informasi pencegahan jenayah, keselamatan jalan raya, borang balik kampung sambil menasihatkan masyarakat umum tentang tips keselamatan.

“Borang balik kampung merupakan memberi maklumat kepada polis bahawa mereka akan meninggalkan rumah dalam suatu tempoh tertentu untuk rondaan khusus pihak polis.

“Borang ini boleh diperoleh di mana-mana Balai Polis, di laman web rasmi PDRM dan aplikasi VSP,” katanya dalam satu sidang media.

Tambah beliau, seluruh warga PDRM Daerah Padawan sentiasa berharap agar masyarakat mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan.

Selain itu, masyarakat juga diseru supaya lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan pulang ke kampung halaman masing-masing agar selamat sampai ke destinasi.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa, pemilik syarikat Tay Motor Aaron Tay Kok Tung dan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

“Ini merupakan tahun kedua program pengagihan bubur lambuk mendapat sokongan dan dokongan daripada syarikat Tay Motor sebagai rakan kolaborasi PDRM untuk program Komuniti Kepolisian dalam usaha PDRM menyantuni masyarakat umum selari dengan slogan PDRM ‘Polis Dan Masyarakat
Berpisah Tiada’,” katanya lagi.

Suara Sarawak