SARIKEI: Rombongan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menunjukkan sisi bersahaja dan merendah diri sewaktu melalui Jalan Pan Borneo Jakar, semalam.
Semuanya selepas baginda menikmati nasi gulai di tepi jalan hasil daripada pemberian peniaga di Jalan Nanas Sarikei, di sini.
Mencerita semula detik manis apabila sempat memberikan nasi gulai kepada Yang di-Pertuan Agong ketika melalui Jalan Pan Borneo Jakar, semalam, Muhamad Hamidi Fikri Amran, 31, berkata ia adalah satu detik paling indah buat dirinya.
“Tanpa fikir panjang saya menghadiahkan nasi gulai kepada Yang di-Pertuan Agong yang kebetulan melintas di depan gerai kami.
“Tak sangka pula, salah seorang Putera Baginda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, tanya… Satu je ke?
Ketika itu, hati saya melonjak gembira dan berlari semula ke arah gerai.
“Tanpa berlengah kami mendapatkan nasi gulai tambahan dan memasukkannya ke dalam plastik dan menyerahkannya kepada rombongan Seri Paduka,” katanya.
Muhamad yang membuka jualan gerai bersama rakannya, Mohd Aziz Ahmad, 25, berkata, berpeluang menghadiah nasi gulai dan berpeluang menatap sendiri wajah Seri Paduka dari dekat adalah satu pengalaman buat dirinya.
Malah katanya, beliau yang mengusahakan jualan nasi gulai secara kecil-kecilan di pinggir jalan tidak pernah terfikir berpeluang untuk memberikan nasi gulai jualannya untuk seorang ketua negara.
Berasal dari Pahang, Muhamad membuka jualan nasi gulai di Jalan Nanas Sarikei sejak setahun lalu.
“Saya membuka gerai jualan setiap hari dan Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan namun semalam (Selasa), saya dibantu rakan mencuba nasib membuka gerai di Jakar yang kebetulan di situ ramai sedang menunggu ketibaan rombongan Yang DiPertuan Agong yang sedang dalam perjalanan ke Kuching.
“Sebaik sahaja Al-Sultan Abdullah tiba, saya dan rakan tanpa berlengah, mengambil nasi kami jual dan menyerahkannya kepada rombongan berkenaan,” katanya.
Menurut Muhamad, kesudian putera Yang di-Pertuan Agong menyantap nasi gulai bungkus itu adalah satu penghargaan yang amat besar untuk dia dan rakannya.
Malah ujarnya, beliau dan rakannnya, lebih terharu apabila putera Al-Sultan itu mencemar duli menikmati juadah tersebut di tepi jalan menjadi tular di laman sosial sejak semalam.
“Ini merupakan satu kenangan paling manis yang tidak akan dapat saya lupakan selama-lamanya,” katanya.
Berangkat sama dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah anakanda Seri Paduka iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.