Kami takut keluar, bakul makanan ini cukup membantu. Terima kasih Kerajaan Sarawak

SIBU: Inisiatif kerajaan negeri menyalurkan bantuan berupa bakul makanan kepada sebanyak 73,000 kepada isi rumah yang terjejas di Sibu, Selangau dan Kanowit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 16 hingga 29 Januari ini disambut baik kalangan penduduk di sini.
Usaha itu mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk di Kanowit dan Selangau termasuk bandar ini.
Bagi Vester Selo, 24, dari Kanowit, bantuan sedemikian amat memberi manfaat kepada penduduk luar khsusunya di rumah panjang kerana ramai yang tidak berani keluar untuk membeli barang keperluan.
“Ini disebabkan ramai yang takut keluar ke pekan khususnya di penduduk rumah panjang di Kanowit memandangkan kes positif Covid-19 semakin meningkat.
“Dengan adanya bantuan bakul makanan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan pergerakan penduduk rumah panjang ke pekan,” katanya.
Lee Kit Kong, 32, dari Sibu juga berasa bersyukur dan lega dengan bantuan tersebut.
Katanya, ia dapat meringankan beban kepada golongan yang kurang berkemampuan ketika menghadapi PKP ini khususnya yang tinggal di bandar amnya.
“Ya, bantuan ini akan meringankan beban yang kita tanggung dalam masa kurang dua minggu ini. Bakul makanan ini ada beras, mi segera, minyak, makanan dalam tin serta barangan keperluan asas yang lain berharga RM70 yang disalurkan kerajaan sudah memadai,” katanya.
Betty Cheraring, 40, dari Selangau berharap bantuan ini akan mendapat memberi manfaat kepada penduduk yang terjejas.
Ujarnya, penduduk luar bandar harus diberikan keutamaan terlebih dahulu memandangkan peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di sana.
“Bantuan sedemikian harus disegerakan kepada mereka khususnya kepada penduduk rumah panjang yang dikenakan sekatan pergerakan seperti di Pasai, Dalat, Kanowit dan sebagainya.
“Kami yang berada di bandar ini boleh dikemudiankan memandangkan dekat dengan kedai atau pasar raya. Kita harus utamakan mereka yang berada di rumah panjang dahulu,” kata Betty.
Pada Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika pengumuman bantuan tersebut berkata, tiga kawasan itu dikenakan PKP susulan peningkatan kes Covid-19 melibatkan jangkitan tempatan daripada Kluster Pasai yang diisytiharkan pada 9 Januari lepas.
Turut terlibat menyalurkan bantuan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ketua masyarakat serta agensi berkaitan.