Kampung baharu di pinggir bandar Sarawak

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti beberapa kawasan pinggir bandar di Sarawak untuk dibangunkan sebagai kampung baharu seperti konsep di Semenanjung Malaysia. ]

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, untuk fasa pertama, kementerian telah mengenal pasti enam kawasan di negeri ini untuk dibangunkan dan telah membuat pemprofilan di kawasan tersebut. Katanya, kementerian juga merancang untuk membangunkan lebih banyak kampung baharu di kawasan pinggir bandar pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, Zuraida menjelaskan konsep kampung baharu ini julung kali diperkenalkan di negeri ini. “Konsep kampung baharu ini dikenali sebagai kampung kapitan yang menjaga pembangunan kaum Cina.

“Namun, konsep kampung baharu di Sabah dan Sarawak ini melibatkan kaum lain seperti Bidayuh, Iban dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina, Adun Batu Lintang, See Chee How di pejabat PKR Stampin, semalam.

Zuraida menambah, komuniti di kampung baharu ini dibangunkan dengan pembangunan infrastruktrur, sekolah, keselamatan dan lain-lain.

Beliau turut memberitahu, pemimpin di Kampung Baharu ini tidak akan mengambil alih peranan atau tanggungjawab pemimpin sedia ada yang telah dilantik oleh Kerajaan Sarawak.

“Seperti di Kampung Kapitan di Semenanjung, pemimpin di peringkat Kampung Baharu ini tidak akan ambil alih peranan pemimpin sedia ada,” tambah Zuraida.

Suara Sarawak