Kampung Batu Mandi berpotensi  jadi tempat pelancongan di Bintulu

BINTULU: Kampung Batu Mandi berpotensi untuk dijadikan sebagai produk pelancongan terbaharu di Bintulu ekoran memiliki pantai yang cantik dan indah.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju Majang Renggi berkata faktor tersebut sudah pastinya akan menarik lebih ramai pengunjung untuk beriadah di kawasan berkenaan termasuk masyarakat luar Bintulu.

Di samping memiliki pantai yang cantik, katanya, kedudukannya yang berdekatan dengan Taman Negara Similajau juga antara faktor utama menggalakkan lagi kehadiran pengunjung.

Katanya, beliau telah berbincang dengan pihak Sarawak Forestry Corporation termasuk penyelenggara Taman Negara Similajau berkaitan kemudahan yang perlu ke arah usaha mempromosikan kawasan pantai kampung terbabit.

Antaranya, menyediakan latihan berkaitan seperti pemandu pelancong dan sebagainya yang antara lain bertujuan bagi mewujud serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Majang berkata demikian ketika berucap merasmi penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0) anjuran Persatuan Anaq Va’ie Bintulu di Pantai Kampung Batu Mandi, Jalan Taman Negara Similajau, di sini, petang tadi.

Sejumlah 353 kaki pancing di sekitar Bintulu termasuk Brunei Darussalam menyertai pertandingan tersebut yang menawarkan Wan tunai bernilai RM12, 000 kepada johan.

Menyentuh tentang pertandingan tersebut, Majang berkata aktiviti memancing dapat dijadikan platform untuk mengukuhkan perpaduan dan jalinan ukhuwah di kalangan penduduk setempat.

Jelasnya, perpaduan antara kaum penting dalam memastikan tiada gangguan yang boleh membantutkan usaha kerajaan Sarawak merancakkan ekonomi dan pembangunan ke arah mencapai status negari maju menjelang 2030.

Hadir sama pengerusi Persatuan Anaq Va’ie Bintulu Pandi Suhaili, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu Azman Abdul Rahman.

3,2,1..TAMAT…Majang membunyikan hon menandakan tamat masa pertandingan.

Suara Sarawak