Kampung Similajau Baru disaran adaptasi teknologi untuk pertanian

BINTULU: Penduduk Kampung Similajau Baru, Jalan Pesisir Bintulu- Miri disaran supaya mengadaptasi teknologi moden serta mempraktikkan kaedah pertanian baharu bagi membangunkan tanah pertanian yang mereka miliki.

Saranan tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju Majang Renggi pada majlis Ramah Mesra Gawai Raya 2019 Kampung Similajau Baru di sini.

Jelas beliau, menerusi pendekatan sedemikian, sedikit sebanyak dapat meningkatkan pendapatan sekali gus taraf ekonomi penduduk dan peneroka kampung berkenaan.

Tambahnya lagi, sekiranya pihak terlibat masih menggunakan kaedah tradisi, hasil yang diperolehi tidak mencukupi bagi menampung keperluan hidup mereka memandangkan keluasan tanah yang dimiliki tidak begitu besar.

Kalau kawasan yang tak besar begini, kalau kita bangunkan dengan cara tradisi kita, memangnya tak mencukupi untuk menampung hidup kita, ujarnya.

UNTUK ALBUM… Majang merakamkan gambar bersama-sama penduduk dan peneroka Kampung Similajau Baru.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak terlibat mengikuti kursus berkaitan pertanian moden di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan Pusat Pertanian Batu 11, Jalan Bintulu-Miri ke arah usaha tersebut.

Majang, dalam pada itu, menyeru pihak terlibat agar bekerjasama dalam membangunkan kawasan perkampungan terbabit ekoran kedudukannya yang strategik dengan kawasan perindustrian(Kidrong dan Samalaju) di samping berpotensi berkembang sebagai kawasan pertanian yang mampu memberi hasil dan pendapatan yang lumayan.

Timbalan Residen Hussaini Hakim, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amit dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai Seng hadir sama.

Pada majlis tersebut, ADUN Samalaju itu turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar(MRP) sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan(JKKK) Kampung Similajau Baru bagi kegunaan aktiviti dan pembangunan kampung manakala Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada jawatankuasa tersebut.

Kampung Similajau Baru terletak di tengah-tengah kawasan Perindustrian Zon Kidurong dan Samalaju yang berpotensi berkembang sebagai sebuah kampung dalam taman sekiranya dibangunkan dengan kaedah pertanian moden.

Kampung berkeluasan 238.81 ekar ini mula diteroka pada 9 November 1990 oleh Dahiri Abu Samah yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Similajau Baru.

MAJANG…bangunkan kawasan dengan kaedah pertanian moden

 

Foto utama: RASMI…Majang memukul gong simbolik merasmikan Ramah Mesra Gawai Raya 2019 Kampung Similajau Baru.