Kampung Sukan Miri dijadikan pusat rawatan

MIRI: Kampung Sukan Miri telah dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) berikutan Hospital Miri tidak dapat menampung pertambahan pesakit Covid-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, statistik terkini kes positif Covid-19 di Hospital Miri adalah 193 pada 15 Januari dan daripa-da jumlah itu, 97 pesakit ditempatkan di Kampung Sukan Miri.
“Peningkatan mendadak pesakit Covid-19 ini telah menjadikan Hospital Miri sesak dan tidak dapat menampung pertambahan jumlah pesakit positif Covid-19.
“Kampung Sukan yang mempunyai kapasiti sebanyak 140 katil telah dijadikan sebagai PKRC yang hanya dikhususkan untuk kes-kes stabil sahaja,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kim Shin yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menjelaskan, JPBB Miri telah mempertimbangkan beberapa premis lain yang telah dicadangkan  untuk dijadikan sebagai PKRC yang akan diteliti oleh pihak Hospital Miri.
Mengulas mengenai sekatan jalan raya di lima daerah, Kim Shin memaklumkan bahawa sekatan jalan raya telah dilaksanakan sejak 13 Januari di semua daerah dalam bahagian Miri seperti yang telah diluluskan oleh JPBNS. Lima daerah berkenaan ialah daerah Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan.
“Ini untuk menentukan supaya tiada kes positif dari zon merah merebak ke zon hijau atau kuning khususnya kawasan pedalaman yang kurang mempunyai fasiliti kesihatan,” jelasnya.
Adun Senadin itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan pasukan penguat kuasa atas usaha mengawal pergerakan rentas daerah dan mengingatkan orang ramai agar lebih waspada dan sentiasa mematuhi SOP Covid-19.
Orang ramai juga dinasihati untuk merujuk kepada kenyataan harian JPBNS untuk mendapatkan laporan terkini khasnya, jumlah kes positif Covid-19 pada hari berkenaan.
“Orang ramai disaran supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana akan menyebabkan panik dan kekeliruan.
“Misalnya, terdapat sosial media yang menularkan Miri terdapat 105 kes kelmarin. Ini merupakan fakta yang tidak betul dan tepat.
“Sebenarnya, jumlah kes positif Covid-19 adalah 10 sahaja seperti yang dinyatakan dalam kenyataan harian JPBNS,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak