Kampung Sungai Ud Dalat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar

DALAT: Hasil mesyuarat Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini memutuskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TMCO) akan dilaksanakan di Kampung Sungai Ud Dalat.
Itu antara penjelasan yang dimaklumkan Menteri Kebajikan, Kssejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah apabila dihubungi hari ini mengenai tindakan selanjutnya setelah Pengesanan Kes Aktif dilakukan di sana.
Terdahulu melalui laman Facebook, Fatimah memaklumkan bermula hari ini (27 Januari 2021) langkah Pengesanan Kes Aktif (ACD) Covid-19 akan dilakukan di Kampung Sungai Ud.
Manakala ujian calitan Covid-19 terhadap penduduk Kampung Sungai Ud akan dijalankan esok (28 Januari 2021) di Balai Raya Sungai Ud.
Dalam pada itu Fatimah mahu semua penduduk yang selesai menjalani ujian calitan tersebut dinasihatkan untuk duduk di rumah sehingga keputusan ujian diketahui .
“Keluar rumah jika perlu sahaja. Jaga kesihatan diri, pastikan cukup rehat.
“Makan makanan seimbang termasuk buah yang banyak Vitamin C dan jika bergejala segera ke klinik kesihatan,”nasihatnya lagi.
Sebagai Adun Dalat Fatimah turut menzahirkan rasa dukacita apabila Dalat minggu ini kembali berubah ke Zon Merah dengan mencatatkan pertambahan kes positif.
Dedahnya lagi Rumah (Rh) Bihai mencatatkan 17 kes positif Covid-19, Rh Simu dengan 2 kes dari Kluster Pasai dan 3 kes dari Kampung Kekan dan Kampung Sungai Ud.
“Mudah-mudahan kita semua selamat dari jangkitan Covid-19 dan bersama kita putuskan penularannya,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak