ARTIKEL

Kamsiah jual 13 jenis kuih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KETIBAAN Ramadan menjanjikan limpahan rezeki yang sangat dinanti-nantikan oleh peniaga kecil.

Ada dalam kalangan masyarakat kita memilih untuk membeli juadah berbuka puasa di luar disebabkan kekangan masa ekoran kerja atau komitmen lain.

Ramai mengunjungi bazar, malah gerai di tepi jalan turut menjadi tumpuan sekiranya makanan yang dijual mendapat tempat di hati pelanggan.

Walaupun masyarakat di Mukah kaya dengan makanannya tersendiri seperti umai, namun mereka mahukan kelainan untuk berbuka.

Mungkin ada sesetengah yang menjadikan umai sebagai juadah utama tetapi rata-rata mengatakan bahawa mereka lebih memilih kuih-muih untuk dijadikan makanan berbuka.

Disebabkan itu, ramai peniaga kecil di Mukah menjual kuih tradisional seperti basong, takir, tako, penjaram dan sebagainya. 

Menurut peniaga kuih tradisional Gansia Mut, 65, mereka menyediakan pelbagai jenis kuih tradisional yang diminati ramai sepanjang Ramadan ini.

“Dalam sehari, saya menjual 12 jenis kuih tradisional dan menyediakannya dalam jumlah yang termampu sahaja.

“Kami tidak menetapkan jumlah untuk jualan kerana, selagi mampu, kami akan membuatnya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dia yang lebih dikenali sebagai Kamsiah atau Kak Kam Karipap bulat turut berkongsi jenis kuih yang dijualnya sepanjang Ramadan ini.

“Kami menjual kuih tako, bongkol, basung, basung pulut, kuih Melaka atau ondeonde, kosoi gula apong, kosoi pandan, wajik, pulut cendawan, kuih keladi, talam ubi kayu dan pulut sambal.

“Pada hujung minggu, karipap bulat turut dijual kerana waktu itu, anak-anak tidak bekerja dan mereka dapat membantu saya menyediakan jualan.

“Daripada semua jenis kuih tersebut, kuih basong dan karipap bulat paling ditunggu ramai,” jelasnya.

Katanya, sebelum ini, dia mampu menghasilkan lebih 20 jenis kuih, namun disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia mengurangkannya kepada 13 jenis kuih.

“Saya membuat kuih lebih dari 37 tahun dan setiap tahun dalam Ramadan tentu saya mengambil peluang untuk menjualnya.

“Bukan itu sahaja, saya juga menghantar kuih jualan ke vendor di Market Kuih Mukah dan pernah menerima tempahan bagi pihak sekolah,” katanya lagi.

Jelas Kamsiah, disebabkan faktor kesihatannya, dia tidak menjual di bazar Ramadan Mukah dan hanya menjual di kawasan rumahanya sahaja.

Pun begitu, sambutan jualannya daripada penduduk sekitar Mukah sangat memberangsangkan dan laris dibeli dalam tempoh 15 minit sahaja.

“Saya amat terharu dengan sambutan yang menggalakkan daripada mereka, namun pada masa sama, agak susah hati kerana terdapat pihak yang merungut disebabkan tidak sempat membeli untuk berbuka puasa.

“Disebabkan itu, kami mengehadkan pembelian bagi setiap jenis kuih sebanyak RM2, biar sama-sama merasainya,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Kamsiah memberitahu, setiap jenis kuih berharga 50 sen sebiji kecuali kuih bongkol.

Menurutnya, keadaan ekonomi kini tidak menjejaskan jualan kuih kerana mereka mempunyai penggemar kuih tersendiri.

Katanya, dia tidak menaikkan harga jualan sesuka hati kerana memikirkan ekonomi pelanggan yang mempunyai bilangan keluarga ramai.

Di samping itu, untuk menyediakan semua kuih jualannya, dia dibantu oleh pembantu dan anak-anak. Justeru, dia berharap sentiasa sihat supaya boleh meneruskan perniagaan ini dan air tangannya menepati cita rasa semua pelanggan.

Bagi penduduk di sekitar Mukah yang ingin merasai kuih jualan Kamsiah, boleh mendapatkannya di gerai berhadapan Klinik Komuniti Mukah yang mula beroperasi pada jam 3.30 petang. 

BERITA LAIN

Tarikan lampu raya Bang Man

KUCHING: Beberapa tahun lalu, apabila Abdul Rahman Othman mula membeli lampu hiasan untuk menghiasi rumahnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, beliau tidak pernah membayangkan lampu

Tarikan air terjun Belaga

LOKASI yang jauh di pedalaman menjadikan Belaga sebagai destinasi yang penuh dengan hidupan flora dan fauna terpelihara. Antara tarikan yang menjadi tumpuan di Belaga adalah

Tidak mudah basi

Ia melibatkan kuantiti besar dengan ribuan batang lemang terjual selain turut beroperasi di kediaman sendiri di Kampung Tupong. “Seperti kebiasaan, kami juga menjalankan operasi jualan

BERITA TERBARU

Umat Islam puasa Ramadan dua kali pada tahun 2030

Kalendar Hijriah Islam dihitung berdasar putaran bulan, manakala kalendar Gregorian atau Masehi dikira berdasar perjalanan bumi mengelilingi matahari. Justeru, ini menyebabkan umat Muslim berpuasa 36