SONG: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera selepas tertusuk panah senapang ikan di bahagian telinganya, malam tadi.
Mangsa, Larry Lang Monica Doris, 9, terpaksa menahan kesakitan lebih sejam akibat kejadian itu sebelum anak panah besi terbabit berjaya dikeluarkan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya hari ini berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song telah menerima panggilan kecemasan daripada Klinik Kesihatan Song berhubung insiden itu pada jam 9.30 malam.
“Susulan itu, tujuh anggota diketuai oleh PBK II Nasihin Jaum dari BBP Song dikejarkan ke lokasi.
“Keanggotaan dan aset terlibat juga telah digerakkan seperti sebuah LFRT,” kata jurucakapnya.
Beliau berkata, setibanya anggota di bilik kecemasan Klinik Kesihatan Song, didapati seorang budak lelaki berumur sembilan tahun tercucuk panah senapang ikan di bahagian telinga.
“Justeru, Komander operasi telah membuat ‘size up’ dan memotong panah besi tersebut menggunakan peralatan ‘Bolt Cutter’ sehingga selesai,” katanya.
Ujarnya setakat ini, mangsa selamat tanpa mengalami kecederaan serius.



