PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan hak pendidikan kanak-kanak atau individu tanpa kerakyatan termasuk warga asing di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi memberikan mereka peluang dalam mendapatkan hak yang sepatutnya.
“Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak mengeluarkan dokumen sementara dan membentuk Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perbincangan Meja Bulat: Hak Pendidikan Kanak-kanak Pelarian dan Tanpa Kewarganegaraan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama Platform Penyelesaian Anjakan Asia (ADSP) dan Bantuan Kesatuan Kemanusiaan Eropah.
Sementara itu kata Fatimah, Kerajaan Sarawak turut menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu rakyat Sarawak tanpa taraf kewarganegaraan.
Katanya, ia termasuk penubuhan Pusat Pembelajaran Komuniti di ladang kelapa sawit, pelaksanaan ‘Kajian Komprehensif Mengenai Faktor Penyebab Kemunculan Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak’, dan program advokasi Pembangunan Sosial Randau.
“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada individu yang layak mendapat akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan dan status perkahwinan yang sah,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata bagi mengenal pasti kanak-kanak atau individu tanpa kerakyatan dan tidak berdokumen, mereka dikelompokkan kepada empat kategori.
Antara kategori itu adalah kanak-kanak tanpa kerakyatan atau taraf kewarganegaraan tidak ditentukan, kanak-kanak bukan warganegara, anak tempatan tanpa dokumen pengenalan diri, dan kanak-kanak Indonesia di bawah umur 12 tahun dan ibu bapa mereka bekerja di ladang di Sarawak, katanya.
Pesuruhjaya SUHAKAM Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid, Datuk Mariati Robert dan Dr Chee Chee Ming; Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM Dr Farah Nini; Pesuruhjaya SUHAKAM Nazira Abdul Rahim serta Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Flovia Ng turut hadir.