KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menunggu tindakan lanjut polis berhubung kes kecederaan seorang kanak-kanak yang dilaporkan digigit di sebuah taska di Putrajaya.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis dan ia masih dalam siasatan.
“Kita difahamkan ketika ini seorang suspek juga sudah ditahan oleh polis. Jadi, kita menganggap bahawa kes tersebut sudah diambil tindakan.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu tindakan lanjut pihak polis selepas ini,” katanya pada sidang media sempena Program Kasih Ramadan KPWKM di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.
Baru-baru ini, tular satu hantaran seorang wanita mengenai bayi perempuannya berusia satu tahun sebulan dipercayai didera dengan kesan dicubit, dicakar dan digigit ketika di bawah jagaan taska di Putrajaya itu.
