Kanak-kanak empat tahun dari Miri positif Covid-19

KUCHING: Satu kes baharu positif Covid-19 dikesan di daerah Miri hari ini, melibatkan seorang kanak-kanak warganegara tempatan berusia empat tahun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kes telah disaring kerana mempunyai kontak rapat dengan kes positif yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Kes didapati positif Covid-19 setelah menjalani saringan kali kedua yang dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan pada 14 November lalu.

“Kes ke 1,041 ini adalah ahli keluarga dan kontak rapat serumah kepada kes Ke-829 dan 883 yang telah dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di bangunan Lama Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurut Uggah yang juga Penegrusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kanak-kanak terbabit tidak mengalami tanda dan gejala jangkitan dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Katanya kes ini juga mempunyai kaitan dengan kontak positif di bawah Kluster Greenhill dan seterusnya menunjukkan pertambahan satu kes di bawah kluster ini.

Ekoran itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,041 kes.

Suara Sarawak