Kanak-kanak perempuan rentung dalam kebakaran di Miri

MIRI: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Peninsula, Kampung Pulau Melayu di sini awal pagi tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Siti Nur Hidayah Zamri berusia 11 tahun.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran sekitar jam 4.17 pagi dan lalu mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran telah pun memusnahkan keseluruhan bahagian rumah.

“Maklumat awal diterima melalui Kawalan BBP Lopeng tiada penemuan mangsa, namun setelah kerja-kerja overhoul sedang dijalankan pasukan bomba menjumpai seorang mangsa kanak-kanak rentung,” katanya.

Semasa kejadian berlaku, mangsa hanya tinggal berdua bersama datuknya yang berusia 62 tahun.

Manakala ibu bapa dan seorang abang, seorang kakak dan seorang adik tinggal di sebuah rumah berdekatan yang hanya terletak pada jarak 30 kaki dari rumah mangsa.