Kancil terbakar dipercayai perbuatan khianat

KUCHING: Sebuah Perodua Kancil terbakar di bahagian depan dipercayai perbuatan khianat, ketika diletakkan berdekatan sebuah bangunan di Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam sekitar jam 2 pagi tadi dan telah menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi.

“Kereta tersebut telah terbakar pada bahagian depan sebelah kiri dipercayai mempunyai unsur khianat.

“Setiba di lokasi, kebakaran telah dipadamkan oleh pengawal keselamatan di tempat tersebut menggunakan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menambah pasukan BBP Batu Lintang yang tiba di lokasi hanya membuat pemantauan agar tiada lagi sisa kebakaran pada kereta berkenaan.

Bagaimanapun, katanya ketika hendak mengumpul maklumat, pemilik kereta itu tiada di lokasi.

Suara Sarawak