Kanser boleh dirawat

KOTA SAMARAHAN: Masyarakat harus lebih memahami dan peka tentang penyakit kanser. Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, pesakit kanser perlu melakukan pemeriksaan saringan awal untuk memudahkan mereka menerima rawatan.

“Jika kita mampu mengenal pasti penyakit ini di peringkat awal, maka akan lebih mudah rawatan dijalankan terhadap pesakit kanser. “Oleh sebab itu, kita mempunyai program saringan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat agar ia boleh ditemui dan dirawat di peringkat awal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Syarahan Perdana: Kisah Patologi dan Kanser oleh Profesor Dr Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan di Pusat Islam Tun Salahuddin (Pitas) Unimas di sini, semalam.

Tambahnya, banyak rawatan yang boleh dilakukan terhadap pesakit kanser pada masa kini. “Jika dahulu, ramai yang menganggap kanser ini umpama hukuman mati terhadap seseorang, namun ia tidak benar.

“Malah ada lagi penyakit yang lebih teruk berbanding kanser,” tegasnya. Annuar turut mengucapkan syabas kepada Dr Zulkarnaen atas syarahan perdananya kerana ia umpama satu usaha untuk melawan penyakit kanser.

Sementara itu, Ketua Jabatan Patologi merangkap Timbalan Dekan Perkhidmatan Klinik dan Pembangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas Profesor Dr Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan dalam syarahan perdananya menyentuh tentang permulaan kanser, ciri-ciri kanser, persoalan tentang kanser serta rawatan patologi dan kanser.

Syarahan perdana tersebut bertepatan dengan sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari tahun ini. Hadir sama ke majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Dr Wan Hashim Wan Ibrahim; Timbalan Naib (Akademik dan Antarabangsa) Dr Ahmad Hata Rasit dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Antarabangsa) Profesor Dr Kamarudin Kana.

Suara Sarawak