PADAWAN: Seorang tukang cuci ditangkap kerana membuat laporan polis palsu demi menyelamatkan diri kerana telah membelanjakan wang milik majikannya.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata perbuatan suspek berusia 25 tahun dari Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang itu terbongkar ketika dia disoal siasat.
Katanya suspek hadir membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa pada 28 Jun lalu, mengatakan ketika dia sedang menunggang motosikal tidak jauh dari McDonald MJC, beg silangnya yang mengandungi wang tunai RM3,600 telah diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal dari belakang sehingga terputus.
“Alasan suspek membuat laporan palsu adalah kerana dia telah membelanjakan wang majikannya untuk membeli keperluan harian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, duit majikan yang dipegang suspek adalah hasil daripada keuntungan kegiatan perjudian dalam talian.
Sehubungan itu, Aidil berkata suspek ditahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.