
KUCHING: Seorang lelaki tidak sempat menikmati hasil jualan motosikal yang dicuri apabila ditangkap polis ketika hendak menjual motosikal itu di sebuah bengkel motosikal di Jalan Batu Lintang di sini.
Malah, motosikal yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu turut dirampas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata tangkapan ke atas lelaki tempatan itu adalah antara kejayaan dalam Op Lejang IPD Kuching, yang dijalankan sejak 11 Februari lalu.
Selain itu, beliau berkata tangkapan turut dibuat ke atas tiga lelaki tempatan yang sedang memecah masuk ke sebuah bengkel kenderaan di Jalan Datuk Bandar Mustapha.
“Turut dirampas dua buah kenderaan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah dan 14 komponen kenderaan yang dicuri dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahsmon menambah semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya hasil saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Ahsmon berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi motosikal) dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah bengkel) yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.
