KUCHING: Sarawak kembali menerima ketibaan pelayaran ke negeri ini selepas tiga tahun berehat.
Ekoran itu, Sarawak mengalu-alukan kembalinya kapal persiaran pertama bagi tahun ini dari Singapura ke Hong Kong iaitu ‘Star Breeze’ yang akan berlabuh di Pelabuhan Sim Kheng Hong pada 23 Mac lalu, jam 8 pagi.

Kehadiran kapal tersebut membawa seramai 201 penumpang termasuk 205 anak kapal untuk lawatan singkat ke Bumi Kenyalang ini.
Pengarah Perhubungan Pihak Berkepentingan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Maurice Balang berkata, penumpang kebanyakan datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah, Australia dan negara ASEAN.
“Kehadiran mereka disambut dengan meriah sebelum dibawa melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kampung Budaya Sarawak dan kawasan di sekitar Kuching bagi lawatan Warisan Kuching,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, kapal tersebut akan berlepas dari Kuching pada lewat petang hari yang sama untuk belayar ke destinasi seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah.
Destinasi lain termasuk beberapa pulau di Filipina sebelum dijadualkan tiba di Hong Kong pada 4 April 2023.
Untuk rekod, ‘Star Breeze’ dimiliki oleh Windstar Cruises yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan 205 anak kapal. Kapal tersebut mempunyai 13 dek serta 935 kabin yang boleh memuatkan 1,870 penumpang.