Kapal tangki bawa 200,000 liter minyak diesel ditahan

MIRI: Sebuah kapal tangki yang membawa muatan kira-kira 200,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM420,000 ditahan ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Sungai Miri sekitar 2:20 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md. Fauzi Othman memberitahu, kapal tersebut ditahan lebih kurang 1.1 batu nautika dari muara Sungai Miri semasa pihaknya melakukan rondaan Op Permai.

“Siasatan lanjut mendapati kapal tersebut membawa muatan diesel lebih kurang 200,000 liter dan telah melebihi kuantiti yang dibenarkan seperti syarat sah lesen.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri turut menahan empat kru termasuk nakhoda warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 49 tahun kerana melanggar syarat pas imigresen ketika diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

EMPAT kru kapal termasuk juragan yang ditahan dalam Op Permai, pagi tadi.

Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) Pengangkutan Petroleum melalui air 1985 iaitu membawa diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan dan juga kesalahan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, langgar syarat pas.

Tambahnya, kesemua kru beserta kapal dan muatan diiring masuk ke Jeti PTV Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

Fauzi dalam pada itu memberitahu, kesemua kru telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara.

Beliau juga menasihatkan kepada komuniti maritim agar sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan dan memantau ramalan cuaca terkini sebelum turun ke laut.