Kapal tangki minyak bersama tiga kru warga Indonesia berjaya ditahan perairan Miri

MIRI: Sebuah kapal tangki minyak dengan tiga awak warga Indonesia ditahan ketika berada di kedudukan lebih kurang 20 batu nautika barat laut Kuala Sibuti dalam perairan Miri, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, kapal terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 8.05 pagi.

Menurutnya, penahanan dilakukan oleh pasukan Ops Permai aset Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan di sekitar lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk lesen kapal domestik (DSL) , tiada pelepasan pelabuhan serta tiada Borang C kecuali pendaftaran kapal (ship registry),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, kapal tersebut difahamkan dalam pelayaran menuju ke Bintulu.

Suara Sarawak