
KUCHING: Malaysia bakal berdepan cabaran besar jika berlaku konflik di perairan negara, kata Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.
Menurutnya ia disebabkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedia ada bukan sahaja uzur malah tidak mempunyai keupayaan dari segi persenjataan untuk peperangan.
“Kita ada kapal untuk operasi buat masa ini tetapi jika ada konflik, kita akan berdepan cabaran besar.
“Sebab itu TLDM bersama-sama Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang berusaha keras dan amat mengharapkan peruntukan daripada kerajaan untuk mengatasi isu ini sebagai persediaan kita menghadapi apa jua kemungkinan yang akan datang, yang kita sendiri tidak tahu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara penutupan Latihan Pelayaran Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 1/2022 di sini, hari ini.
Sabri menambah ketika ini, TLDM hanya memiliki 22 kapal dengan sebahagian besarnya sudah berusia lebih 40 tahun.
Katanya jumlah yang itu juga tidak mencukupi untuk beroperasi menjaga perairan negara.
“Walaupun mempunyai 22 kapal namun dalam satu-satu masa, tiga atau empat kapal akan berada di limbungan untuk penyelenggaraan.
“Dalam masa menjalankan operasi 24 jam, kami juga perlu menggunakan kapal seperti untuk latihan dan rutin-rutin lain,” katanya.
Sementara, Latihan OSTEX EAST 1/2022 telah dilaksanakan di perairan Laut China Selatan bermula 14 Mac lalu, yang turut disertai oleh Sabri.
Sebanyak lapan buah kapal TLDM, KD PERAK, KD SUNDANG, KD BADIK, KD RENCONG, KD GANAS, KD SERANG, KD TODAK dan KD BAUNG serta sebuah kapal selam, sebuah helikopter Fennec, sebuah pesawat Unmanned Aerial Surveillance (UAS) Scan Eagle dan dua buah pesawat Hawk milik TUDM telah terlibat dalam latihan berkenaan.
Pelaksanaan OSTEX EAST 1/22 adalah bagi mempamerkan kehadiran aset-aset TLDM di Laut China Selatan serta membuktikan bahawa TLDM sentiasa komited menjaga perairan negara.
Latihan OSTEX EAST kali ini memberi penekanan terhadap latihan kemahiran seperti komunikasi, navigasi, peperangan dan juga ilmu kelautan bagi tujuan meningkatkan kompetensi warga kapal.
OSTEX EAST juga akan dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan tahap kesiagaan armada timur sentiasa berada pada tahap yang optimum.