SIBU: Pasukan bomba terpaksa menggunakan kapal tongkang lain untuk menjalankan operasi pemadaman kebakaran membabitkan sebuah kapal tongkang yang berlaku di tengah Sungai Rajang di Pulau Selalo, Paradom, hari ini (Khamis).
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian pada jam 8.02 pagi, lalu menggerakan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.

Seramai 11 anggota berserta jentera FRT dan EMRS dikerahkan ke lokasi diketuai Penguasa Bomba (PgB) Gawai John.
“Kebakaran melibatkan sebuah kapal tongkang bertingkat sepanjang 50 meter tanpa muatan yang berada di tengah-tengah sungai terbakar hampir 100 peratus dan tiada mangsa yang terlibat.

“Anggota bomba telah menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan hos hantaran 200 kaki, 2 nozel serta pam angkut dan sumber air dari air sungai,” ujar beliau.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan di atas sebuah kapal tongkang lain yang telah digunakan bagi pengangkutan anggota ke lokasi kerana kapal tersebut berada 200 meter dari tebing sungai.

“Kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 9.20 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan pada jam 9.55 pagi setelah anggota bomba selesai melakukan pemeriksaan di sekitar kapal dan memastikan kebakaran padam sepenuhnya.
“Tindakan susulan diserahkan kepada agensi penguat kuasa keselamatan sungai dan anggota seterusnya berangkat balik ke balai,” kata beliau.