Kapit berdepan masalah, kekurangan fasiliti jika kes terus meningkat

KUCHING: Sarawak perlu menubuhkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di kawasan yang berdepan peningkatan kes positif Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, ia boleh ditubuhkan di Kapit, Bintulu, Miri dan kawasan lain yang berdepan dengan isu tersebut.

“Di kapit, PKRC perlu ditubuhkan di kawasan sekitar empangan Baleh iaitu kawasan kluster Covid-19 dikesan.

“Ia akan mengurangkan tekanan penggunaan Dewan Suarah untuk kes positif Covid-19. “Dengan cara ini juga, kita dapat mengasingkan kes positif dan bukan positif, sekali gus memutuskan rantaian Covid-19,” katanya menerusi kenyataan kelmarin.

Beliau memaklumkan, Bahagian Kapit akan berdepan masalah kekurangan fasiliti sekiranya trend Covid-19 terus meningkat.

“Dewan Suarah dan Stadium Tertutup digunakan untuk menempatkan mereka yang positif manakala individu di bawah siasatan (PUI) ditempatkan di Asrama Belia dan Rumah Temuai.

“Sehubungan itu, purata kes  positif Covid-19 yang dilaporkan di Kapit adalah 130 kes setiap hari,” ujarnya. Beliau menjelaskan, bagi kes yang serius ia ditempatkan di Hospital Kapit yang kini juga penuh.

“Dewan Suarah dan Stadium Tertutup Kapit juga akan kehabisan ruang untuk kes positif Covid-19 tidak lama lagi,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau juga menggesa semua pihak berusaha memastikan program vaksinasi berjalan lancar untuk mewujudkan imuniti yang besar. “Dengan membina PKRC dan usaha agresif untuk vaksinasi, kita akan melawan Covid-19 menerusi dua perkara tersebut.

“Selain itu, dengan cara tersebut kita berada pada posisi yang lebih baik untuk memerangi pandemik dalam masa yang singkat,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, sekiranya terdapat kes Covid-19 dalam masa terdekat, pihaknya akan menggunakan bangunan tersebut untuk tujuan lain. “Wang ini dibelanjakan dengan baik untuk pembinaan PKRC di kawasan zon merah,” tegas beliau lagi.

Suara Sarawak