Kapit bertukar merah, hanya sembilan daerah kekal hijau

KUCHING: Daerah Kapit bertukar status dari jingga kepada merah, hari ini setelah 41 kes positif Covid-19 jangkitan tempatan dilaporkan di daerah itu dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini sekali gus menjadikan hanya sembilan daerah di negeri ini kekal berstatus hijau.

“Selain itu, daerah Bau dan Lundu telah bertukar status daripada kuning kepada jingga, hari ini.

“Ia susulan Bau merekodkan 22 kes dan Lundu (25) kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu, daerah Beluru pula telah bertukar dari status merah kepada kuning setelah terdapat 20 kes jangkitan tempatan dilaporkan di daerah itu dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Bagaimanapun, daerah Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri, Sibu dan Kuching kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,934 kes jangkitan tempatan dilaporkan di tujuh buah daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.

“Manakala daerah Sarikei, Subis dan Betong juga kekal berstatus jingga dengan 84 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh yang sama,” jelasnya.

Sementara itu, Uggah turut mendedahkan daerah Matu, Daro, Sebauh, Lawas, Telang Usan, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga, Meradong, Julau, Simunjan, Lubok Antu, Selangau, Samarahan dan Sri Aman kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 122 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Suara Sarawak