LIMBANG: Penganjuran Karnival Mini Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Hari Kerjaya 2026 di Tebingan Limbang baru-baru ini, mencerminkan usaha berterusan kementerian itu menterjemah komitmen Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Program berimpak tinggi ini menyatukan pelbagai pengisian penting merangkumi akses perkhidmatan awam, pasaran kerja, advokasi keselamatan jalan raya dan agenda pembangunan komuniti secara berpusat.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menjadi manifestasi jelas terhadap komitmen kerajaan menyampaikan perkhidmatan secara inklusif dan responsif.
Langkah ini selari dengan teras Malaysia MADANI yang meletakkan kesejahteraan rakyat, kemampanan dan keadilan pembangunan wilayah sebagai agenda utama.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, tanpa mengira sama ada mereka berada di bandar, luar bandar mahupun kawasan sempadan.
“Kerajaan tidak mahu hanya menunggu rakyat hadir ke pejabat kerajaan. Sebaliknya, kerajaan perlu turun padang, mendekati masyarakat dan membawa pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat. Inilah semangat yang mendasari penganjuran Karnival Mini MOT dan Hari Kerjaya 2026.
Beliau berkata, pemilihan Limbang sebagai lokasi penganjuran bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan wilayah utara Sarawak, malah mengiktiraf potensi daerah itu sebagai pintu masuk strategik yang mampu merancakkan pertumbuhan sektor pengangkutan, logistik, perdagangan dan pelancongan.
Menurutnya, pembangunan negara tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama semata-mata, sebaliknya perlu memastikan setiap wilayah dan komuniti menikmati peluang pembangunan secara adil dan saksama.
Karnival dua hari ini turut menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu lokasi.
Pendekatan “Kerajaan Dalam Satu Lokasi” ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos rakyat, malah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Antara pengisian utama program itu termasuk sesi temu duga terbuka yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, program bantuan MyLesen B2 JPJ melibatkan 506 penerima dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Hari Kerjaya yang dianjurkan melalui usaha sama Kementerian Sumber Manusia, PERKESO serta pelbagai rakan industri memberi peluang kepada belia, graduan dan pencari kerja meneroka prospek kerjaya dalam sektor pengangkutan, logistik, rel, maritim dan penerbangan yang semakin berkembang.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan turut hadir.






