ARTIKEL

Kartel makanan ayam faktor harga sukar dikawal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUANTAN: Tindakan lima syarikat pengisar makanan ayam yang membentuk kartel penetapan harga ayam merupakan perbuatan pengkhianatan peringkat paling tinggi kepada negara dan undangundang persaingan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata tindakan syarikat itu menyebabkan harga ayam sukar dikawal, selain kerajaan mengeluarkan subsidi besar bagi menampung subsidi ayam di peringkat pengeluaran.

“Kerajaan mengeluarkan subsidi berjumlah RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur dari Februari 2022 hingga November lepas dan 72.8 peratus kos pengeluaran ayam adalah kos harga makanan.

“Apabila berlaku kartel untuk mengawal harga makanan ayam, sukar untuk kita mengawal harga ayam pada kadar ditetapkan RM9.40 sekilogram.

Pengusaha (ayam) sukar mendapatkan harga makanan lebih murah kerana lima syarikat ini terlibat dalam 40 peratus pengeluaran makanan ayam.

“Itu yang menyebabkan kita menerima banyak aduan kerana ada peniaga mengambil upah potong memandangkan harga ayam yang dibekalkan tidak dapat membuat keuntungan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Tindakan kartel itu, menurut Fuziah secara tidak langsung ‘mengaut keuntungan’ daripada rakyat kerana dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan rakyat Malaysia mengambil sekitar 48 kilogram daging ayam setahun.

Beliau juga optimis harga barangan dapat dikawal jika aktiviti kartel dapat dibanteras dan Kerajaan Perpaduan komited untuk menghentikan amalan itu menerusi peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024.

Pada Jumaat, media melaporkan MyCC mengenakan penaliti berjumlah RM415.5 juta kepada syarikat terbabit kerana didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel itu. Syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam serupa antara perusahaan terbabit antara Januari 2020 dengan Jun 2022, selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

LAIN-LAIN BERITA

Mesyuarat mingguan hingga 20 Mac selesai isu padi, beras

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

BERITA TERBARU