Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Kasih keluarga dorong jadi usahawan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Kasih sayang keluarga merupakan faktor yang membawa kejayaan kepada seorang usahawan muda untuk memiliki kedai gajet sendiri.

Lebih manis, pembukaan kedai itu dirasmikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, kelmarin.

“Hari ini (kelmarin) merupakan hari yang bersejarah buat diri saya kerana berjaya memiliki premis sendiri yang saya namakan Chegu Aiman Gadget yang menjual gajet dan telefon pintar,” kata Aiman Abdul Hamid, 23, yang juga merupakan seorang guru, ketika ditemui di pejabatnya.

“Terima kasih kepada keluarga saya yang banyak membantu dalam proses pembukaan kedai ini, terutama ibu saya yang sering mendorong saya untuk menjadi usahawan serta membantu dari segi kewangan untuk memulakan perniagaan ini.

“Semasa kecil, saya melihat ibu berniaga menjual kuih-muih dan nasi lemak.

Sekarang ibu masih menjual roti canai sejuk beku untuk mencari belanja demi membesarkan kami adik-beradik dan menghantar kami ke institusi pengajian tinggi,” ujar Aiman yang merupakan anak bungsu serta lelaki tunggal daripada tujuh adik beradik.

Sementara itu, Fatimah berkata, Aiman disifatkan sebagai seorang anak yang baik, patuh kepada ibu bapanya dan cemerlang dalam bidang pelajaran.

“Pada masa era ekonomi digital kini, perniagaan telefon pintar dan gajet-gajet dilihat sebagai satu peluang perniagaan yang sesuai diceburi oleh golongan generasi Z seperti Aiman.

“Gajet dan telefon pintar pada ketika ini adalah peranti yang penting, mudah dibawa ke mana-mana dan dekat dengan kita hampir 24 jam sehari dalam kehidupan norma baharu zaman kini,” kata Fatimah ketika ditemui sewaktu perasmian kedai Chegu Aiman Gadget.

“Saya berharap Aiman tidak berubah sikap, sentiasa merendahkan diri serta hormat kepada orang lain tanpa mengira usia.

“Paling penting Aiman harus fokus kepada pekerjaan utama sebagai guru bagi mendidik anak bangsa menjadi bangsa yang berguna pada masa hadapan,” katanya.

Fatimah mengingatkan Aiman supaya tidak mencampur aduk kerjaya sebagai guru dengan keusahawanan.

Sebelum membuka kedai sendiri, Aiman sudah mula berniaga dari rumah dengan menggunakan aplikasi sosial media ‘TikTok’ untuk promosi dan pemasaran gajet dan telefon pintar. – Penerangan

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News