Katering tidak patuhi menu

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tidak akan teragak-agak menyenarai hitamkan atau tidak membayar pihak katering yang tidak mematuhi menu ditetapkan, seperti yang berlaku sempena Minggu Aluan Pelajar di universiti itu baru-baru ini.

Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata pihaknya mengenal pasti tiga katering yang terlibat dan sedang menjalankan siasatan, susulan isu makanan yang disediakan kepada para pelajar sangat tidak memuaskan.

“Kita menentukan menu, cuma kadang-kadang mereka (katering) tidak mematuhinya…ini membawa masalah kepada Unimas.

“Misalnya isu nasi dengan seketul ayam goreng itu, ia sepatutnya ada sayur, buah, air dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Fadzil, Unimas telah melantik 15 katering untuk membekal makanan kepada kira-kira 3,800 pelajar sempena minggu orientasi pelajar universiti berkenaan dari 3 hingga 7 September lalu.

Katanya setiap katering dibayar RM20 bagi seorang pelajar yang merangkumi RM4 untuk sarapan pagi, RM8 untuk makan tengah hari dan RM8 untuk makan malam.

Namun demikian, katanya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab tiga daripada pihak katering terbabit, ia telah menimbulkan isu yang mencemarkan nama Unimas.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap katering yang tidak bertanggungjawab seperti ini,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii berharap agar Unimas segera menyiasat perkara itu.

“Saya berharap siasatan bebas dilakukan supaya peruntukan digunakan dengan betul dan mana-mana kontraktor tidak seharusnya mendapat keuntungan yang tidak munasabah daripada perbelanjaan untuk pelajar,” katanya.

Mohd Fadzil Abdul Rahman