Kaul Medong kali ke-72 diadakan Januari tahun depan

DALAT : ‘Kaul’ cukup sinonim buat masyarakat Melanau di Sarawak. Sehubungan itu, satu sambutan Kaul Medong bakal diadakan di Balai Raya Kampung Medong Hulu pada 1 Januari tahun hadapan dengan tema ‘Warisan Budaya dan Identiti Melanau’.

Menurut Pengerusi Pesta Kaul Medong, Ketua Kampung Mahrup Libeng, sambutan Kaul Medong pada kali ini merupakan kali ke-72 setelah 11 orang bapa kaul telah mengendalikan upacara kaul tersebut.

Ujarnya bagi memeriahkan lagi sambutan Kaul Medong pada kali ini , pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang dan sebelum sambutan berkenaan.

“Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah persembahan Pencak Silat, Persembahan Tarian Melanau, Persembahan Poco-Poco, Persembahan Muzik Seramak (Segutum), dan Persembahan Taekwando oleh pelajar sekolah rendah.

“Selain itu, turut diadakan juga aktiviti sampingan iaitu pertandingan karoeke pada 28 hingga 30 Disember, acara Sukan Air dan Fun Run pada 30 Disember ini,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Jelas beliau dianggarkan juga sejak tahun 1948 lagi Kaul Medong tersebut telah disambut oleh masyarakat Melanau di Dalat.

Ketua Kampung Mahrup Libeng

“Acara kemuncak utama ialah kita akan melakukan upacara membawa ‘serahang’ ke kawasan hulu (hujung Kampung Medong Hulu ) untuk dipacak ke kiri dan kanan sungai, dan setelah itu upacara akan diteruskan ke hilir sungai ( hujung Kampung Medong Hilir ) seterusnya juga akan dipacak di kiri dan kanan sungai dengan dua buah serahang yang disertai sama oleh bapa kaul menggunakan bot.

“Kaul Medong ini mempunyai sama tujuannya dengan Kaul yang lain ada di sekitar Mukah, dan kaul ini juga merupakan salah satu khazanah peninggalan nenek moyang sejak dahulu lagi, jadi kita sebagai bangsa pewaris perlu mengekalkan adat turn temurun kita,” jelasnya.

Beliau turut mengajak orang ramai sekitar Bahagian Mukah untuk sama-sama meraikan dan melihat sendiri sambutan Kaul Medong pada 1 Januari tahun hadapan.

Jelasnya lagi program tersebut juga akan dirasmikan oleh Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Kaul merupakan satu keramaian yang diadakan oleh masyarakat Melanau sejak dahulu lagi bertujuan bagi menjamu ‘ipok’ atau semangat yang mengawal pelosok alam, dengan harapan utama dapat dimurahkan rezeki dan dihindari dari segala bencana. Manakala ‘serahang’ pula berfungsi menjadi tempat penjamuan kepada ipok ini.

Sambutan Kaul Medong yang disambut awal tahun 2018 (sumber Facebook Kaul Medong Fest)