Kaul Mukah 2021 mungkin dibatal

MUKAH: Pesta Kaul Mukah 2021 tidak akan diadakan sekiranya pandemik Covid-19 masih belum reda di negeri ini. Bagaimanapun jika keadaan tersebut berlanjutan, hanya upacara Kaul Serahang Kakan diadakan pada tahun ini.
Itu penjelasan Adun Balingian yang juga Presiden Persatuan Melanau Mukah (PMM) Abdul Yakub Arbi ketika ditanya mengenai perkembangan terkini perancangan Pesta Kaul Mukah 2021 semalam.
Jelasnya, Pesta Kaul Mukah hanya akan diadakan jika pandemik ini telah berakhir
“Sekiranya pandemik masih ada, hanya Kaul Serahang akan diadakan.
Ini penting bagi menjamin keselamatan orang awam dan mengelakkan daripada virus ini menular dengan lebih buruk,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Bagaimanapun ujarnya, Pesta Kaul tersebut akan tetap menjadi antara tumpuan utama dalam kalendar pelancongan Sarawak dan diadakan secara bersyarat mengikut keadaan pandemik Covid-19 serta prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
Terdahulu mesyuarat penubuhan jawatankuasa Kaul Mukah 2021 telah diadakan pada 30 November 2020 di Bangunan Pentadbiran Baharu Mukah.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Abdul Yakub turut dihadiri Presiden Persatuan Melanau Kuching Yussibnosh Balo serta Residen Mukah Hamdiah Bakir.
Mesyuarat itu telah membincangkan Penubuhan Jawatankuasa Pesta Kaul 2021 serta perancangan aktiviti dan pengagihan tugas mengikut bidang masing-masing serta penetapan tarikh Kaul Mukah 2021.
Terdahulu pada 2020, penganjuran Pesta Kaul Mukah telah dibatalkan berikutan pelaksanaan apabila Perintah Kawalam Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan gelombang pertama Covid-19 di Malaysia Namun kini penganjurannya akan dilaksanakan mengikut keadaan semasa pandemik Covid-19 selain mengikut ketetapan keselamatan serta kesihatan semasa di kawasan Mukah.

Suara Sarawak