
MUKAH: Pembukaan kaunter satelit perkhidmatan kebajikan di Pejabat Daerah Kecil Igan, melegakan lebih 200 penerima bantuan kebajikan di kawasan itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pembukaan kaunter baharu itu memudahkan penerima yang sebelum ini, berurusan di daerah Matu.
Katanya, ia merupakan salah satu lagi pendekatan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus memastikan bantuan sampai ke segenap peringkat masyarakat yang memerlukan.
“Kaunter ini memberi manfaat kepada penduduk dari kawasan Sungai Rasau hingga ke Kuala Igan yang mempunyai lebih 200 penerima bantuan kebajikan
“Justeru, dengan pembukaan pejabat satelit ini, ia pasti melegakan para penerima yang berurusan di tempat ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Penyerahan Kenyalang Gold Card dan Perasmian Kaunter Satelit Perkhidmatan Kebajikan di Igan semalam.
Melalui pembukaan kaunter itu, JKM bakal menambah kekerapan penempatan kakitangan di Pejabat Daerah Kecil Igan kepada dua kali sebulan berbanding hanya sekali sebulan sebelum ini.
Sehubungan itu, Juanda yang juga ADUN Jemoreng menzahirkan kepada JKM atas usaha tersebut dan berharap kemudian yang disediakan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
“Saya juga berharap penduduk mendaftarkan ahli keluarga mereka yang Orang Kurang Upaya (OKU) di pejabat ini. Begitu juga mereka yang ada penyakit kronik dan seumpamanya yang berkelayakan.
“Langkah itu amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak,” ujarnya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad, Pegawai Kebajikan Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yew Seng dan pemimpin masyarakat setempat.