Trending

KAWAH PUTIH Ciwidey Bandung asalnya sebuah danau misteri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DANAU Kawah Putih di Ciwidey terletak di Desa Alam Endah, Kecamatan Rancabali, di dataran tinggi Bandung Selatan – sekitar 50 kilometer dari pusat kota Bandung, ibu kota Jawa Barat itu.

Terbentang indah di kaki Gunung Patuha (katanya asal dari nama Pak Tua), terbentang Kawah Putih berbatu kapur kelabu dan berpasir kekuningan pucat dengan bau belerang berasap.

Ada pengunjung yang memungut butiran belerang kuning sebesar kerikil di pinggir danau.

Katanya, bagus dijadikan penyembuh penyakit kulit! Danau terletak pada ketinggian 2,194 meter dalam kawasan seluas 25 hektar ini tinggalan letusan gunung berapi abad ke-10.

Airnya biru kristal kehijauan dan difahamkan ada kalanya berubah warna lain.

Meski ditumbuhi pepohon kering di sebahagian tebing, dan ada yang mati seperti hangus dilahap api akibat hembusan angin panas danau – pemandangan tetap memukau!

Kami sempat ke puncak Patuha, menaiki 300 anak tangga menikmati keindahan danau Kawah Putih dalam deruan angin nan dingin.

PUAKA

Kisah silam Kawah Putih dianggap sebagai kawasan berpuaka dan merupakan kawasan larangan sehingga warga tidak berani memasukinya. Dipercayai kawasan ini tempat berkumpulnya roh para perajurit Prabu Siliwangi.

Masyarakat setempat dahulu percaya terdapat tujuh makam para leluhur di puncak Kapuk yang disebut sebagai tempat pertemuan para leluhur pimpinan Eyang Jaga Satru.

Kisah silam juga percaya terdapat biri-biri putih dikenali sebagai biri-biri lukutan yang dianggap sebagai jelmaan para leluhur (dalam bahasa Sunda bermaksud lumut). Ada yang mengaku melihat wujudnya harimau putih di kawasan tersebut.

RATU JIN

Sebahagian warga setempat juga mengaitkan misteri Kawah Putih dengan kerajaan ghaib milik ratu jin yang turut dikaitkan dengan Gunung Tangkuban Perahu.

Awalnya, terdapat kisah menceritakan sekelompok burung yang terbang melewati Kawah Putih mati.

Kisah puaka Gunung Patuha ini sampai ke telinga cendekiawan botani Belanda bernama Dr. Franz Wilhelm Junghuhn (1837).

Junghuhn melawan mitos yang sekian lama membuat warga setempat enggan mendekati Gunung Patuha.

MITOS

Junghuhn menemukan alasan mengapa burung enggan melintasi Gunung Patuha dan kalau ada yang terbang di atasnya akan menemui ajal!

Beliau mengatakan kawah yang di gunung tersebut mengeluarkan aroma belerang atau sulfur yang beracun menyengat sehingga haiwan pun berusaha menghindarinya.

Selepas itulah, kilang belerang Zwavel Ontgining Kawah Putih dibangunkan pada zaman kolonial Belanda.

Pada zaman penjajahan Jepun, kilang tersebut dikelola dan diganti nama Kawah Putih Kenzaka Gokoya Ciwidey.

Kemudian bermula 1987, tapak Kawah Putih dimajukan menjadi lokasi wisata terkenal Indonesia.

Di tapak yang juga dikenali sebagai Kawah Putih Ciwidey ini terdapat beberapa spot foto untuk wisatawan – antaranya dermaga kayu tepi danau, skywalk cantigi, jambatan buluh terapung sepanjang 500 meter, Sunan Ibu iaitu bukit hijau di sekitar kawah putih sebagai spot menyaksikan matahari bangkit dan terbenam. 

Kawah Putih juga sering menjadi lokasi penggambaran filem, tempat seniman melukis, mengambil foto pengantin, kegiatan mendaki dan berkuda.

Perjalanan kami dari Kota Bandung sejauh sekitar 50 kilometer menaiki kereta memerlukan waktu sekitar 1.5 jam untuk sampai di Kawah Putih.

Harga tiket masuk Kawah Putih Ciwidey bagi warga tempatan ialah Rp30,000 seorang (RM8.50) dan bagi wisata luar negara Rp81,000 (RM25) seorang.

Waktu buka tapak wisata terkenal ini bermula 7 pagi hingga 5 petang.

Dalam suhu sejuk 8-22 darjah Celsius di Kawah Putih dengan air tasik yang tenang, sukar menemui haiwan hidup.

Dikatakan hanya terdapat beberapa spesies burung hantu berhabitat di sini.

GUA MISTERI

Oleh kerana gas sulfur tidak baik untuk kesihatan, pengunjung dinasihati memakai pelitup muka yang turut terjual di pintu masuk.

Pengunjung juga tidak digalak berada lebih 15 minit di dalam kawasan Kawah Putih.

Hal misteri lain yang masih terdapat di Kawah Putih yang pasti membuat pengunjung penasaran ialah terdapat peringatan bertulis: “Perhatian!

Dilarang BerlamaLama Depan Gua!” terpacak di depan Goa Belanda dipalang banyak potongan kayu.

Gua tersebut dipercayai bekas lombong belerang Belanda.

Sebuah portal dalam talian menulis begini: “Hanya saja, kini sudah dipalang pakai kayu… Jangankan masuk, berdiri lama-lama di depan gua itu saja dilarang.

Dan kesimpulan portal itu menulis: “Ia berbahaya buat kesihatan pengunjung”.

Tidak berapa jelas, ada yang mengatakan di gua itulah tinggalnya harimau putih misteri yang disebut-sebut itu!

Jika dapat diungkapkan, berwisata di Kawah Putih antara pengalaman menarik dan menjadi ingatan, selain menikmati suasana Kota Bandung “Parijs van Java” waktu malam di kawasan perbukitan tinggi.

Berhampiran tapak Kawah Putih ini warga bertanam sayur-sayuran dan buahbuahan antaranya alpukat atau avokado, terdapat hamparan kebun strawberi dan ladang teh yang luas di sudut dataran tinggi berdekatan

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru