Kawal ketat Beting Patinggi Ali

KUCHING: Taman Negara Beting Patinggi Ali atau dikenali Luconia Shoals menjadi antara perairan terpenting di Sarawak yang perlu dikawal ketat, apabila Taman Laut itu merekodkan dua penemuan baharu spesies ikan paus.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dua spesies ikan paus yang dilindungi sepenuhnya ialah paus Sperm (Physeter Microcephalus) dan paus Common Minke (Balaenoptera Acutorostrata).

“Beting Patinggi Ali kawasan perairan yang menjadi pemuliharaan dunia dan kita mempunyai dua spesies mamalia di kawasan ini yang merupakan penemuan baharu dunia.

“Keunikan yang terdapat di perairan Sarawak mesti kita pertahankan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Pasukan Pengawal Pantai Sarawak di Tebingan Kuching di sini, pada Rabu.

Menurut Abang Johari, bagi paus Sperm, rekod kemunculan pertamanya di kawasan Taman Negara di Beting Patinggi Ali pada April ini.

Manakala, bagi paus Common Minke, kemunculan pertamanya pada April dicatat di perairan Taman Negara juga di Beting Patinggi Ali.

Suara Sarawak