Kawal masa kanak-kanak terhadap skrin digital semasa PKP

KUALA LUMPUR: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga, semestinya membuatkan ahli keluarga menghabiskan lebih banyak masa dengan peralatan elektronik mereka – telefon bimbit, komputer, komputer tablet, konsol permainan, televisyen – kerana mematuhi arahan PKP supaya duduk di rumah.

Pakar perunding oftalmologi dan pediatrik oftalmologi di Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Norazah Abdul Rahman berkata ibu bapa perlu bimbang dengan keadaan ini dan perlu mengawal masa anak-anak mereka menghadap skrin peralatan elektronik demi menjaga keselamatan dan kesihatan mata yang baik.

“Masa di depan skrin peralatan elektronik tidak lagi terhad kepada hiburan, malah kini kelas-kelas dalam talian diadakan dan kanak-kanak seawal umur empat tahun secara rutin telah melayari platform pemainan dalam talian atau menonton video dalam YouTube.

“Rata-rata, kanak-kanak Malaysia menghabiskan hampir 12 ke 16 jam di depan komputer riba, televisyen atau telefon pintar dan hampir tidak melakukan aktiviti luar,” katanya.

Dr Norazah berkata terlalu lama terdedah pada skrin boleh menyebabkan beberapa gejala terhadap kanak-kanak seperti mata sering berkelip, tingkah laku visual yang tidak normal dan menggosok mata secara konsisten.

“’Digital eye-strain’ atau keletihan mata selalunya mereka akan merasa pening, sakit mata, ‘foreign body sensation’ (terasa seperti ada sesuatu di dalam mata), penglihatan kabur dan sakit badan bagi dewasa,” katanya.

Beliau juga tidak menggalakkan penggunaan mana-mana peranti digital untuk kanak-kanak di bawah 18 bulan serta mengehadkan masa di depan skrin kepada dua jam sehari bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun.

“Dalam keadaan pandemik global ini, mata dan kesihatan kita perlu menjadi keutamaan tidak kira apa juga cabaran yang dihadapi,” katanya.

Dr Norazah menasihatkan ibu bapa untuk menerapkan latihan rehat 20-20-20, iaitu kanak-kanak digalakkan untuk kerap mengambil waktu rehat daripada skrin digital setiap 20 minit dengan melihat objek sejauh 20 kaki (6 meter) untuk sekurang-kurangnya 20 saat.

“Ini membantu merehatkan refleks akomodasi (gerak refleks yang terjadi pada pupil) yang kuat, seterusnya mengurangkan keletihan mata.

“Penggunaan ubat titis mata yang kerap boleh membantu mengurangkan gejala mata kering. Kanak-kanak mungkin tidak mengadu sakit mata tetapi menunjukkan tanda seperti selalu menggosok mata atau mata berkelip yang tidak normal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menambah, orang ramai perlu menjauhkan diri daripada skrin digital atau televisyen sekurang-kurangnya sekali seminggu dan menggunakan masa itu untuk aktiviti meningkatkan kemahiran lain seperti melukis, bermain alat muzik atau melakukan senaman ringan.

“Apabila tempoh PKP berakhir, saat-saat inilah yang akan dikenang apabila masa kembali sibuk dan akan merindui peluang untuk melakukan semua aktiviti berkenaan,” katanya.

Dr Norazah turut mengingatkan orang dewasa untuk mengehadkan masa di skrin untuk proses berkaitan kerja, panggilan video kepada yang tersayang dan mendapatkan berita sahih daripada sumber boleh dipercayai.

“Sentiasa mengamalkan tempat kerja ergonomik yang ‘eyegonomic’ dengan meletakkan skrin pada jarak 20 hingga 26 inci di antara mata anda dan skrin serta 15 darjah di bawah paras mata, di rumah.

“Ia penting untuk mengelakkan postur yang tidak baik, sakit muskuloskeletal dan mata kering. Menggunakan penapis skrin cahaya biru membantu mengurangkan cahaya dan pantulan cahaya silau daripada skrin,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia di sebuah syarikat pembinaan Nur Fadzriny Mohamed Fadzill, 35, berkata tidak dinafikan penggunaan peranti elektronik anak lelakinya meningkat selepas pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, ibu kepada Muhammad Faris Abdul Razak, 10, dan Muhammad Fahim Abdul Razak, 7, mengehadkan penggunaan telefon bimbit dan komputer tablet dua anaknya itu hanya kepada empat jam sehari.

“Pada mulanya memang saya biarkan mereka guna gajet untuk main permainan dan sebagainya untuk hilangkan bosan duduk di rumah, kadang-kadang sampai mereka tidak tidur, jadi saya buat keputusan untuk hadkan penggunaan peralatan itu.

“Selepas mereka habis buat kerja sekolah sebelah malam memang saya akan ambil telefon bimbit dan simpan komputer tablet mereka dan hanya pulangkan keesokannya,” katanya.