SARAWAK kini mempunyai kawalan penuh terhadap sumber minyak dan gas di daratan berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58).
Kejayaan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memeterai Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini.
Ini dibuktikan dengan perkembangan terbaharu apabila kerajaan negeri melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menganugerahkan syarikat yang berjaya untuk meneroka medan minyak di daratan berdekatan Miri dan Marudi.
Ke arah itu, Petros sedang memuktamadkan Kontrak Petroleum dan Perjanjian Operasi Bersama untuk Blok SK433 dengan Petra Energy Development Sdn Bhd dan rakan usaha sama, Uzma Energy Venture SK433 Sdn Bhd.
Selain itu, anak syarikat milik penuh Petros iaitu Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PetrosEP) juga akan menjadi rakan ekuiti dalam Kontrak Petroleum yang menyumbang kepakaran ke arah kejayaan usaha sama ini.
Berkuat kuasa 1 Januari lalu, Petros EP (penerokaan dan pengeluaran) juga telah memeterai dua Kontrak Perkongsian Pengeluaran Luar Pesisir Sarawak (PSC) sebagai rakan kongsi ekuiti tidak beroperasi.
Ini meletakkan Petros EP di tempat ketiga di belakang Petronas Carigali dan Shell dari segi kepentingan kerja pengeluaran gas semasa di Sarawak.
Petros EP juga dalam kedudukan baik untuk memasuki beberapa Blok Penerokaan Luar Pesisir Sarawak pada hujung tahun ini.
Penubuhan Petros sejak 2017 yang merupakan syarikat minyak dan gas Sarawak merupakan tindakan strategik untuk mendapat semula penglibatan Sarawak secara lebih adil dan aktif dalam industri minyak dan gas.
Perjalanan Sarawak untuk mendapatkan pulangan yang lebih adil dalam industri minyak dan gas di negeri ini bukanlah laluan yang mudah.
Seperti kita sedia maklum, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak terpaksa berhadapan dengan Petronas di mahkamah untuk memutuskan sama ada Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk minyak dan gas dari negeri ini.
Dan, akhirnya undang-undang memihak kepada Kerajaan Sarawak dan dengan kemenangan di mahkamah, Sarawak mendapatkan pulangan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM2,956,671,407.36 bagi tahun 2019.
Pengecualian Pemakaian Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan CSA merupakan pengikitirafan Kerajaan Persekutuan ke atas kapasiti Kerajaan Sarawak untuk mengawal selia dan mempunyai keterlibatan dalam industri minyak dan gas di negara ini.