Kawalan pintu masuk tepat

MIRI: Langkah Kerajaan Sarawak untuk mengetatkan kawalan pintu masuk ke negeri ini terutamanya di sempadan Miri-Brunei amat disokong susulan wujudnya kes disyaki jangkitan koronavirus semalam, kata Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Menurutnya, langkah tersebut penting kerana krisis novel koronavirus dari Wuhan, China itu masih di peringkat awal dengan ciri-ciri jangkitan virus berkenaan belum diketahui sepenuhnya.

“Perkara ini cukup membimbangkan kerana virus tersebut mempunyai tempoh inkubasi yang agak lama dan jangkitan boleh tersebar dari manusia ke manusia.

“Sesetengah mangsa yang dijangkiti pula, tidak menunjukkan simptom yang jelas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tegas beliau, langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak itu adalah tepat dan wajar bagi mencegah penyakit tersebut daripada tersebar di negeri ini.

“Rakyat Sarawak digesa mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghindari tempat yang sesak dan jaga kebersihan seperti kerap membasuh tangan dan memakai topeng muka jika perlu,” ujarnya lagi.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan kawalan masuk pelawat khususnya dari China menerusi lapangan terbang di seluruh negeri ini diperketatkan susulan kes disyaki jangkitan novel koronavirus.

Katanya, salah satu pintu masuk yang turut diberi perhatian adalah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Miri kerana boleh dimasuki pelancong China dari Sabah.

Suara Sarawak