Kawasan pesisir terus dibangunkan

SEBUYAU: Kawasan pesisir negeri ini akan terus dibangunkan bagi memastikan masyarakat di kawasan berkenaan tidak tertinggal arus pembangunan.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, contoh yang sangat jelas ialah projek pembinaan Jambatan Batang Lupar yang merentasi Sungai Batang Lupar oleh Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, sebelum ini projek mega tersebut ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan, namun atas keprihatinan Kerajaan Sarawak projek tersebut akan dibina seperti mana yang ditetapkan.

“Keputusan untuk meneruskan projek pembinaan jambatan ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tegasnya.

Julaihi berucap semasa Majlis Sekalung Budi Jalinan Kasih di Kampung Bulan, kelmarin.

Jelasnya, ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan kemudahan di sepanjang rangkaian jalan pesisir sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Julaihi yang juga Adun Sebuyau menambah, Kerajaan Sarawak merancang dan melaksanakan pelbagai projek bagi memastikan landskap pembangunan kawasan pesisir berubah.

Oleh itu, katanya, perancangan pembangunan yang komprehensif perlu bagi memastikan semua rakyat menikmati pembangunan sama rata.

Julaihi juga mengumumkan Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Bulan.

Kerja-kerja pembinaan dewan masyarakat baharu itu akan bermula tahun depan.

Pada 8 Jun lalu, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, projek pembinaan Jambatan Batang Lupar sepanjang lima kilometer dijangka akan bermula November depan.

Menurutnya, tender projek jambatan terpanjang merentasi sngai itu sudah dikeluarkan Kerajaan Sarawak tetapi masih perlu mengatur perkara berkaitan tapak tanah agar pembinaanya dapat berjalan lancar.

Rohani menjelaskan lagi, perkara berkaitan tapak tanah mengambil masa kerana perancangan penjajaran jambatan berlaku sedikit perubahan.