Kawasan rendah dijangka berdepan ancaman banjir

KUCHING: Beberapa kawasan di Sarawak dijangka berdepan hujan lebat termasuk di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Khirudin Drahman berkata, tahap kesiapsiagaan bomba menghadapi masalah banjir di negeri ini pada tahap yang optimum.

“Kita mengeluarkan arahan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir kepada semua pegawai bomba sebagai langkah proaktif menangani masalah banjir.

“Rangkaian sosial seperti aplikasi WhatsApp diwujudkan dengan ketua jabatan di peringkat daerah, bahagian dan negeri bagi tujuan penyaluran dan perolehan maklumat berkaitan banjir,” katanya kepada Suara Sarawak ketika dihubungi sebentar tadi.