Kayu Sarawak sudah terbang ke bulan

Banyak yang tidak tahu bahawa hingga digunakan dalam rekaan pada roket Apollo II milik Nasa yang terbang dan mendarat di bulan. Itu hakikat yang sebenarnya bagi menggambarkan kayu yang berasal dari Bumi Kenyalang ini.

Kayu tersebut pada asalnya diimport oleh sebuah syarikat di Jepun, yang diberi tanggungjawab menyediakan sebahagian daripada komponen roket tersebut.

Pada 2012, Kerajaan Sarawak membangunkan satu dasar yang menetapkan 7 juta hektar tanahnya adalah untuk tujuan sektor perhutanan.

Daripada jumlah itu, 6 juta hektar ialah estet hutan kekal (PFE), manakala 1 juta hektar lagi merupakan kawasan terlindung sepenuhnya (TPA).

Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, daripada 6 juta hektar tanah PFE tersebut, 1 juta hektar disasarkan untuk ladang hutan industri.

Sebanyak 4 juta hektar tanah adalah untuk sektor pertanian; 3 juta hektar tanah untuk estet ladang kelapa sawit dan pembangunan tanah NCR manakala 1 juta hektar untuk tanaman lain.

Sejumlah 1.4 juta hektar tanah pula adalah untuk pelbagai tujuan termasuk pembangunan penenpatan bandar dan luar bandar, projek hidroelektrik serta kawasan tadahan air.

Pelancaran Apollo 

Guna Tanah

Ternyata perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak berhubung guna tanah ini amat teliti dan tidak sebarangan.

Malah ia membuktikan, meski bersifat mesra alam dan mengutamakan kehijauan, Sarawak masih mampu menjadikan sumber perkayuan sebagai asas ekonominya.

Untuk rekod, perkayuan termasuk pembalakan pernah menjadi sumber utama ekonomi Sarawak.

Namun peranannya sebagai penyumbang ekonomi negeri sedikit menurun berikutan polisi Kerajaan Sarawak yang berubah. Ia kini berada pada kedudukan keempat selepas minyak kelapa sawit, pelancongan serta minyak dan gas.

Kata Awang Tengah, Sarawak komited untuk terus memperkasa peranan sektor ini dan antara tindakan yang dilaksanakannya termasuklah mempelbagai produk hiliran serta memperkasa ladang hutan.

Galak Penanaman

“Kita sedang menggalakkan usaha penanaman ladang hutan yang cepat tumbuh dan cepat mengeluarkan hasil.

“Antaranya termasuklah menanam kayu jenis akasia dan buluh,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kalau dahulu, Sarawak terkenal kerana eksport kayu balaknya, termasuk ke Jepun dan India, kini usaha sedang dilakukan untuk negara-negara ini menjadi pengguna akhir.

“Bermakna kita mengeksport kayu yang bukan lagi dalam bentuk batang balak, tetapi dalam bentuk papan lapis serta perabot.

Pada 2017, produksi kayu dari hutan Sarawak mencapai 7.1 juta kubik meter (M3), dengan 1,6 juta M3 adalah daripada ladang hutan.

Pada 2018, jumlah produksi ini menurun 6.4 juta M3, dengan ladang hutan menyumbang 1.7 juta M3. Daripada jumlah tersebut, keluaran papan lapis Sarawak terus menjadi tarikan apabila produksinya mencapai 1.59 juta M3 diikuti kayu bergergaji 506,754 M3.

Untuk menjayakan pengeluaran ini sejumlah 286 kilang beroperasi di negeri ini dengan 33 daripadanya memberi tumpuan kepada papan lapis, manakala 19 lagi pada veneer dan kilang kayu termasuk bergergaji, 98 buah.

Lima bulan pertama tahun ini, industri perkayuan menyumbang sejumlah RM2.09 bilion kepada negeri ini dengan papan lapis menghasilkan pulangan RM1.08 bilion, kayu balak RM340 juta dan kayu bergergaji bernilai RM263 juta.

Eksport Utama

Ketika ini, kata Awang Tengah, Jepun menjadi negara eksport utama Sarawak dalam industri ini. Ia menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah eksport atau penghasilan sebanyak RM1.0 bilion.

Ini diikuti India 11 peratus atau RM220 juta, Timur Tengah 10 peratus (RM200 juta) dan Taiwan 7 peratus (RM136 juta). Indonesia 6 peratus (RM120 juta) dan Korea 5 peratus (RM111 juta).

Menurut Awang Tengah lagi, Sarawak terus komited membangunkan industri ini, biarpun ia bukan daripada hutan semula jadinya.

Untuk tujuan tersebut, ia memberi tumpuan kepada projek hiliran seperti perabot.

“Kita memberi fokus kepada nilai tambah ini dan berusaha untuk mencontohi Vietnam, yang kini merupakan pengeluar dan pengeksport perabot terbesar dunia.

Untuk menjayakan usaha ini katanya, Pusaka sedang mengusahakan jenama Sarawak ke peringkat dunia.

Sehubungan itu satu program berkait pereka muda sedang dibangunkan sejak tahun lalu, melibatkan pereka muda dari Unimas yang menjalan latihan perantisan di beberapa syarikat yang terlibat dalam industri.

Malah, kerjasama juga dijalinkan dengan Institut Teknologi Bandung bagi membawa para pereka ini ke peringkat global.

Khabarnya, sudah ada tempahan dari negara luar terhadap kreativiti anak muda Sarawak ini dan prospeknya bernilai berbilion ringgit.

Ternyata, meski tumpuan diberikan kepada dasar mesra alam dan pengekalan kehijauan, industri perkayuan di Sarawak tidak akan mati.

Suara Sarawak